Desa Kasih Cemerlang (DKC) merupakan program pembangunan sosio-ekonomi yang dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada bulan Jun 2001 dengan peruntukkan sebanyak RM 1,800,000.00. Matlamat program ini adalah untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan serta kualiti hidup; menanam sikap ingin berjaya dan cemerlang; melahirkan golongan peniaga dan usahawanan; membentuk peserta untuk menjadi individu yang berkemahiran dan berpengetahuan; serta meningkatkan pencapaian prestasi akademik pelajar di Desa Kasih YBK.

Justeru, pendekatan atau strategi yang digunakan adalah seperti berikut;

• Program Pemulihan Sikap - pembangunan manusia melalui siri ceramah motivasi, kuliah dan seminar. Pelajar diberi bimbingan meningkatkan prestasi pencapaian akademik mereka. Sementara golongan remaja dan belia diberikan latihan motivasi serta kerjaya.

• Pembangunan Ekonomi - bimbingan perniagaan dan keusahawanan bagi melahirkan golongan peniaga di kalangan peserta. Program-program yang dirancang adalah seperti jahitan berkelompok, pemprosesan makanan, dan pembangunan gerai.

• Pusat Kecemerlangan Pelajar (PKP) - Di setiap Desa Kasih telah disediakan dengan kemudahan PKP, yang dilengkapkan dengan keperluan peralatan rak buku, kerusi dan meja, papan kenyataan, komputer, buku rujukan, buku latihan, dan majalah. Program kelas tuisyen UPSR, PMR dan SPM juga dilaksanakan.

• Pusat Teknologi Maklumat (ICT) - Di setiap Desa Kasih telah dilengkapkan dengan kemudahan ICT yang akan ditempatkan di balai raya atau PKP. Dengan bimbingan dan latihan diberikan oleh tenaga pengajar yang dilantik, Pusat ICT akan memberi peluang latihan kemahiran komputer kepada golongan pelajar, remaja dan isi rumah.

ANALISIS IMPAK PROGRAM

• YBK telah melaksanakan inisiatif berikut iaitu Program Pemulihan Sikap Pelajar (27 program), Program Pemulihan Sikap Isi Rumah (24 program), Program Pemulihan Sikap Remaja (3 program), Program Pusat Kecemerlangan Pelajar (9 program), Pusat Teknologi Maklumat @ ICT (7 program), Program Sistem Maklumat Kemiskinan (3 program), dan Program Pembangunan Ekonomi (51 program).

• Kajian ke atas Ketua Isi Rumah (KIR) pada tahun 2003 menunjukkan 54.2% positif terhadap perlaksanaan program pembangunan dan terlibat sepenuhnya, 69.8% mendapat pendidikan agama secara tidak formal iaitu kuliah-kuliah agama di bawah program DKC. Sebahagian besar KIR mempunyai tahap motivasi yang baik iatu 62.1% (sederhana) dan 34.7% (tinggi), 74.0% mempunyai tahap bermasyarakat yang amat aktif, dan 20.9% KIR bersikap aktif. Secara keseluruhannya KIR mempunyai kebimbangan hidup atas isu kemiskinan (15.1%), kesihatan (14.2%), pelajaran (10.3%), masa depan (10.5%), pekerjaan (14.7%) dan bantuan kerajaan (16.8%).

• Program DKC melibatkan 248 orang peserta siri seminar keusahawanan dan berjaya memberi inspirasi kepada 60 orang peserta mengemukakan cadangan berniaga. Daripada jumlah tersebut sehingga seramai 51 orang telah diberi bantuan perkakasan gerai untuk menjalankan perniagaan gerai dan berjaya meningkatkan pendapatan isi rumah.

• Program DKC juga berjaya menyumbang meningkatkan pendapatan isi rumah peserta. Ini dapat dilihat apabila purata pendapatan isi rumah peserta meningkat daripada RM 595.66 (RM 100.18 per kapita) dalam tahun 2001 kepada RM 725.79 (RM 122.43 per kapita) dalam tahun 2002. Walau bagaimanapun ia menurun kepada RM 674.50 (RM 119.45 per kapita) dalam tahun 2003.

• Kadar termiskin dalam tahun 2003 juga dikesan menurun daripada 12.7% (2001), kepada 8.4% (2002) dan 2.8% (2003). Kadar pengangguran peserta Desa Kasih juga dikesan menurun dari 21.3% (2001) kepada 20.1% (2002) dan 8.7%(2003).

• Program DKC berjaya mengurangkan kadar keciciran peserta dari 97 orang (6.7%) dalam tahun 2001 kepada 53 orang sahaja (6.7%) dalam tahun 2001 dan terus menurun kepada 37 orang (4.9%) dalam tahun 2003.

•  Program DKC telah berjaya meningkatkan prestasi pencapaian akademik pelajar Desa Kasih. Berdasarkan kajian rambang, keputusan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM pelajar menunjukkan purata markah UPSR meningkat dari 42.6% (2001) kepada 56.4% (2002) dan 68.6% (2003). Purata markah PMR pula mencatatkan 58.0% (2001) kepada 52.5% (2002) dan 56.9% (2003), dan purata markah SPM mencatat 47.5% (2001) kepada 50.6% (2002) dan 64.1%(2003).

• Dengan kemudahan ICT, pelajar dan KIR telah mengikuti kelas-kelas ICT yang dijalankan sepanjang tahun 2001 hingga 2003. Malah YBK juga berjaya menguruskan setiap Pusat ICT yang diselaras oleh seorang penyelaras ICT berkelulusan Diploma/Sijil untuk mengajar komputer.

• Hampir 100 orang dari kalangan ibu tunggal, suri rumah dan remaja peserta Desa Kasih telah mengikuti latihan kemahiran menjahit.

Sehingga 31 Disember 2006, YBK telah membelanjakan sebanyak RM 1,846,917.25 daripada sejumlah RM 1,800,800.00 yang diperuntukkan oleh KPLB.


Laporan Prestasi Program Desa Kasih Cemerlang


Pada tahun 2005, YBK telah menerima peruntukkan sebanyak RM904,800.00 dari Kementerian Luar Bandar & Wilayah, di bawah peruntukkan Program Kesejahteraan Rakyat bagi meneruskan falsafah program Desa Kasih Cemerlang di Desa Kasih. Program ini dinamakan Program Desa Kasih Cemerlang Lanjutan.

Strategi program ini tertumpu kepada Bantuan Perkakasan Perniagaan dan Produktiviti, Program Latihan Kemahiran Untuk Meningkatkan Pendapatan, dan Pusat Kecemerlangan Pelajar.

Sehingga 17 April 2008, YBK telah membelanjakan sebanyak RM 501,135.03 atau 55% daripada peruntukan yang diberikan. Baki peruntukan telah digunakan untuk membiayai program Kumpulan Tuisyen Hujung Minggu (KUNTUM) 2009 dan 2010 atas persetujuan daripada KKLW.


Laporan Prestasi Program Desa Kasih Cemerlang Lanjutan


GERBANG KARYAWAN YBK

HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

TEL : 03 7875 0036
FAKS : 03 7875 0719
E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial ;