- Hit: 44
KUALA SELANGOR, 25 Julai 2025 – Pusat Latihan YBK Kuala Selangor terus komited memperkasakan pelatihnya bukan hanya dalam aspek teknikal, malah juga dari sudut pembangunan diri dan komunikasi berkesan. Dalam sesi Motivasi NLP terbaharu yang dikendalikan oleh jurulatih bertauliah NLP Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), En. Zulhairy Jalaluddin, para pelatih didedahkan kepada konsep “Meta Model” dalam Neuro-Linguistic Programming (NLP).
Meta Model merupakan satu kerangka dalam NLP yang bertujuan membetulkan kefahaman dan memperjelas komunikasi yang sering kabur akibat tiga tabiat mental utama: memadam (delete), memesongkan (distort) dan mengumum-andai (generalise) maklumat dalam fikiran manusia.
“Kita bercakap tetapi sering memadam, mengherot dan membuat andaian tanpa sedar. Akhirnya orang salah tafsir, dan komunikasi gagal,” tegas En. Zulhairy.
Beliau turut menjelaskan bahawa sikap seseorang tidak statik dan sering berubah, dipengaruhi oleh corak pemikiran serta sistem tapisan minda yang terbentuk daripada pengalaman, kepercayaan dan emosi individu.
Sesi yang berlangsung lebih satu setengah jam itu bukan sahaja memberikan kesedaran tentang pentingnya komunikasi tepat dan jelas, malah menekankan tanggungjawab setiap individu untuk bertanya apabila tidak faham, sebagai langkah membetulkan tafsiran dan mengelakkan salah faham.
“Bila tidak bertanya, saya terpaksa anggap mereka faham... atau mereka juga telah ‘delete’, ‘distort’ dan ‘generalise’,” ujar beliau bersahaja.
Program ini mencerminkan usaha berterusan YBK untuk membina generasi pelatih yang bukan hanya mahir dari segi teknikal, tetapi juga matang dari segi pemikiran, empati dan kemahiran komunikasi yang diperlukan dalam dunia pekerjaan sebenar.