RAKAN YBK – RAKAN STRATEGIK DALAM MISI MEMBASMI KEMISKINAN DAN MEMBINA KESEJAHTERAAN

Rakan YBK merupakan kumpulan sokongan dan rakan strategik kepada Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dalam melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat, khususnya kepada golongan sasar YBK. Melalui Rakan YBK, semangat kesukarelawanan dan kerjasama komuniti digerakkan secara tersusun bagi menyokong aspirasi YBK sebagai peneraju pembasmian kemiskinan di Malaysia.

Antara inisiatif utama di bawah Rakan YBK termasuklah program gotong-royong komuniti, penyampaian bantuan melalui Skuad Kasih YBK (SKY), serta Program Santuni Gelandangan yang menyasarkan golongan terpinggir di kawasan bandar. Selain itu, para sukarelawan juga berperanan sebagai ejen penyampai maklumat bagi program Sinar Kasih Ramadhan (SKR) dan kemasukan ke Asrama Kasih YBK, memastikan maklumat program YBK sampai kepada yang benar-benar memerlukan.

Penyertaan dalam program-program Rakan YBK terbuka kepada orang awam tanpa mengira latar belakang. YBK juga amat mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana organisasi, agensi atau syarikat yang ingin melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui aktiviti komuniti dan kesukarelawanan bersama Rakan YBK.

Dengan kekuatan jaringan sukarelawan dan rakan strategik, Rakan YBK berhasrat untuk menjadi pemacu utama dalam menjayakan pelbagai agenda sosial dan kebajikan yang dirintis oleh YBK, ke arah membina masyarakat yang lebih sejahtera, inklusif dan prihatin.

 

PROGRAM SANTUNI GELANDANGAN – MENYEMAI IHSAN DI HATI KOTA

Sejak tahun 2014, Program Santuni Gelandangan anjuran Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) telah menjadi antara inisiatif kemasyarakatan paling konsisten yang menyantuni komuniti jalanan di sekitar ibu kota. Program ini dijalankan setiap hari Sabtu, sejurus selepas solat Subuh, bertempat di perkarangan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. Melalui pemberian pek sarapan dan minuman pagi secara percuma, program ini membawa mesej ihsan, kasih sayang dan kebersamaan buat rakan-rakan jalanan yang sering terpinggir daripada perhatian umum.

Setiap pek makanan yang diagihkan disediakan sepenuhnya oleh karyawan dan sukarelawan YBK menerusi inisiatif Dapur YBK. Bagi melaksanakan program ini setiap minggu, YBK memerlukan dana sekurang-kurangnya RM 500 untuk menampung kos bahan mentah dan keperluan memasak. Justeru itu, sumbangan daripada orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan pihak korporat amat dialu-alukan. Sebagai badan yang berdaftar, YBK turut menyediakan resit pengecualian cukai pendapatan kepada penyumbang yang memerlukannya, tertakluk kepada terma dan syarat.

Program ini telah dihentikan sementara pada tahun 2020 susulan penularan pandemik COVID-19, namun tetap diteruskan dalam skala kecil secara on-demand, bergantung kepada permintaan dan tajaan daripada pihak luar.

Namun begitu, program ini bersedia untuk diaktifkan semula sekiranya terdapat permintaan daripada mana-mana pihak yang ingin menjayakannya, sama ada sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR), aktiviti pelajar, atau inisiatif sukarela komuniti.

 

DAPUR YBK – MEMASAK DENGAN KASIH, MENYANTUNI DENGAN HATI

Dapur YBK merupakan sebuah inisiatif khas anjuran Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang berteraskan semangat gotong-royong dan kesukarelawanan dalam menyediakan makanan kepada golongan yang memerlukan. Program ini berfungsi sebagai pusat penyediaan pek sarapan dan minuman pagi bagi Program Santuni Gelandangan, di samping menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti lain seperti bantuan bencana, jelajah komuniti, serta penyediaan makanan untuk program-program khas berdasarkan permintaan.

Apa yang membezakan Dapur YBK ialah semua penyediaan makanan dan minuman dilaksanakan secara in-house, oleh tenaga kerja YBK sendiri bersama barisan sukarelawan yang berdedikasi. Program ini turut disertai oleh pelbagai kumpulan sukarelawan luar seperti pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), persatuan kebajikan dan belia, serta agensi luar yang ingin menyumbang tenaga dan kepakaran secara langsung. Antara organisasi yang pernah terlibat termasuklah UPSI, UPM, UiTM, UMK, Badan Amal Kebajikan Anggun (BAKA), Kelab Beliawanis Sri Sepang (KBSS), dan ramai lagi.

YBK amat mengalu-alukan penyertaan daripada individu, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan mahupun sektor swasta untuk turut serta dalam Dapur YBK. Penyertaan boleh dilaksanakan dalam pelbagai bentuk, sama ada sumbangan tenaga, bahan mentah, kepakaran logistik, atau kolaborasi strategik di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

 

SKUAD KASIH YBK (SKY) – MENJEJAK DAN MEMBANTU MEREKA YANG MEMERLUKAN

Skuad Kasih YBK (SKY) merupakan sebuah inisiatif proaktif Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang bertujuan mengenal pasti keluarga atau individu kurang bernasib baik yang memerlukan bantuan. Program ini digerakkan oleh karyawan YBK bersama sukarelawan terlatih, yang akan turun padang bagi menjalankan siasatan dan penilaian awal terhadap setiap kes yang dilaporkan, bagi memastikan kesahihan maklumat dan menentukan bentuk bantuan yang paling sesuai.

Melalui pendekatan berfokus dan berasaskan keperluan, YBK menawarkan pelbagai bentuk bantuan termasuk peluang pendidikan kepada anak-anak melalui penempatan di Asrama Kasih YBK Serendah dan Asrama Kasih YBK Gesir, atau latihan kemahiran menerusi Akademi Kemahiran YBK. Bantuan berbentuk kewangan atau barangan keperluan akan dipertimbangkan secara teliti dan hanya diberikan kepada kes-kes tertentu yang layak dan mendesak.

YBK amat menggalakkan penyertaan masyarakat dalam usaha ini. Sekiranya anda mengetahui mana-mana keluarga atau individu di kawasan anda yang memerlukan bantuan, khususnya dalam aspek pendidikan, kebajikan atau pembangunan diri. Anda boleh memainkan peranan penting dengan melaporkannya kepada pihak kami. Skuad Kasih YBK percaya bahawa tiada insan harus dibiarkan terpinggir. Bersama kita jayakan misi  menyantuni yang memerlukan, membina harapan, dan mengubah kehidupan.

Untuk maklumat lanjut atau membuat laporan kes, sila WhatsApp ke nombor 011 5645 7832 atau hubungi 03 7875 0036.

GERBANG KARYAWAN YBK

HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

TEL : +60 (3) 7875 0036
E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial rasmi ;