KG GESIR TENGAH, 11 Julai 2025 – Sesi Motivasi NLP yang berlangsung di Akademi Kemahiran YBK (AKYBK) Gesir telah membuka minda para pelatih AKYBK daripada perkongsian oleh jurulatih bertauliah NLP merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), En. Zulhairy Jalaluddin.

Dalam sesi tersebut, beliau berkongsi berkenaan konsep “Divine Oneness”, yang menggarap pemahaman bahawa setiap kejadian di alam semesta merupakan manifestasi kehendak dan perancangan Allah SWT. Semua ciptaan-Nya, termasuk manusia, haiwan, tumbuhan dan unsur semula jadi, saling berkait dan berinteraksi dalam satu sistem harmoni yang memberi kesan antara satu sama lain.

“Saya tekankan bahawa tiada sesiapa atau apa pun yang wujud bersendirian di dunia ini. Kita semua adalah sebahagian daripada satu kesatuan. Jika kita menggembirakan orang lain, kita juga akan merasai kegembiraan itu. Begitulah hakikat kehidupan yang saling berkait,” jelas En. Zulhairy kepada para pelatih.

Beliau turut mengaitkan pengalaman zaman remajanya dengan pelatih AKYBK, menyatakan bahawa dimensi emosi dan kesedaran hubungan sesama manusia sering diabaikan oleh remaja, sedangkan ia adalah asas penting dalam membina kemahiran insaniah dan semangat kerjasama dalam dunia pekerjaan dan kehidupan.

Konsep ini, yang diperkenalkan melalui pendekatan NLP (Neuro-Linguistic Programming), turut membantu pelajar memahami bagaimana tindakan, emosi dan fikiran seseorang boleh mempengaruhi suasana sekeliling, sama ada dalam bentuk positif mahupun sebaliknya.

Sesi Motivasi NLP ini bukan sahaja menyemai nilai empati dan kesedaran diri dalam kalangan pelatih, malah memperkukuh objektif AKYBK dalam membina generasi muda berkemahiran yang lengkap dari aspek teknikal dan sahsiah.

GERBANG KARYAWAN YBK

HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

TEL : +60 (3) 7875 0036
E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial rasmi ;