KELANA JAYA, 23 Julai 2025 – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, serta Kerajaan MADANI atas pengumuman pelbagai langkah strategik dalam menangani kos sara hidup rakyat seperti yang disampaikan dalam ucapan “Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia” hari ini.

Sebagai sebuah yayasan yang telah 35 tahun berdiri teguh di barisan hadapan dalam agenda pembasmian kemiskinan dan pembinaan kesejahteraan komuniti, YBK menyambut baik inisiatif yang diumumkan iaitu;

  • Pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 seorang kepada seluruh rakyat dewasa berusia 18 tahun ke atas, melibatkan 22 juta penerima dan peruntukan RM2 bilion.
  • Peningkatan kadar gaji minimum kepada RM 1,700 serta pelaksanaan gaji kehidupan wajar (living wage) sebanyak RM 3,100 kepada pekerja.
  • Penambahan jawatan dalam sektor kesihatan, khususnya bagi doktor dan pegawai perubatan, demi kebajikan rakyat.
  • Penerusan subsidi petrol RON 95 secara bersasar dan penurunan harga kepada RM 1.99 seliter untuk warganegara Malaysia, yang bakal memberi manfaat kepada lebih 18 juta pengguna, termasuk belia dan pekerja gig.
  • Program Sejahtera MADANI dan peluasan Kampung Angkat & Sekolah Angkat MADANI, yang sangat bertepatan dengan usaha akar umbi YBK di seluruh negara.

YBK percaya bahawa inisiatif yang diumumkan ini bukan sahaja akan membantu golongan miskin dan miskin tegar, malah turut meringankan beban kelompok B40 dan M40 yang selama ini terkesan dengan tekanan ekonomi dan kos sara hidup.

Dengan pengalaman selama 35 tahun dalam menyantuni masyarakat di serata pelusuk negara, YBK melihat pendekatan yang inklusif dan berteraskan komuniti seperti Sejati MADANI, Jualan Rahmah, serta bantuan kebajikan yang diperluaskan ini akan memberikan impak besar kepada isi rumah terkesan, sama ada di bandar mahupun di luar bandar.

YBK sedia memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan dan sektor swasta untuk memastikan inisiatif-inisiatif serta bantuan ini sampai kepada kumpulan sasar. YBK juga terbuka untuk menyumbang kepakaran dan pengalaman dalam menjayakan agenda pembasmian kemiskinan, selaras dengan aspirasi MADANI.

Semoga segala usaha murni ini berjalan lancar dan akan mencipta impak yang bermakna kepada rakyat serta merapatkan jurang sosio-ekonomi agar semua lapisan masyarakat menerima manfaatnya.

MUHAMMAD SHERHAN NIZAM BIN ABDUL AZIZ
Pengurus Besar, Yayasan Basmi Kemiskinan

GERBANG KARYAWAN YBK

HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

TEL : +60 (3) 7875 0036
E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial rasmi ;