KALUMPANG, 5 September 2022 - Hari ini Asrama Kasih YBK Serendah (ASKAS) menamatkan Kem Kepimpinan Pengawas ASKA yang berlangsung 4 hari 3 malam bermula 2 hingga 5 September 2022. Seramai 25 orang pengawas telah diberikan latihan dan bimbingan kepimpinan oleh pasukan Pengurusan ASKAS dan juga penglibatan Jurulatih konsultan.

Pelbagai pengisian berbentuk ilmiah dan latihan fizikal melatih barisan pengawas berani menghadapi cabaran dan menyelesaikan cabaran. Program kem kali ini memasukkan pengisian kerohanian dan juga latihan fizikal. Barisan Pengawas bermalam 1 hari di Masjid Nurul Iman Serendah bagi mengikuti program Qiamullail anjuran AJK Masjid.

Pengawas ASKAS berkampung di Kalumpang Resort Pasir Putih bermula 4 hingga 5 September dengan penyediaan aktiviti daripada Team Tn Aki Konsultan. Antara aktiviti yang sangat menarik iaitu Survival cooking. Pengawas diberikan tugasan menyediakan juadah makan malam sendiri bersama kumpulan dengan dibekalkan bahan yang sangat terhad. Menunya ialah ayam masak Pansuh, ikan masin masak lemak cili padi, kangkung goreng dan air kopi. Setiap kumpulan mendapat seekor ayam yang masih hidup yang perlu disembelih sendiri, kelapa perlu dikupas tanpa parang. Isi kelapa diparut untuk mendapatkan santan. Pengawas perlu berikhtiar untuk menghidupkan api dan memasak nasi di dalam buluh. Walaupun pada awalnya agak sukar untuk disediakan namun atas kesungguhan dan kerjasama yang baik ada kumpulan yang berjaya menyediakan juadah makan malam mereka dengan baik.

Kem pengawas kali ini lebih meriah dengan aktiviti dan modul dari Team Tn. Aki konsultan yang sudah tidak asing lagi. Pengawas nampak lebih bersemangat dan memberikan komitmen seratus peratus dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan.

Pada jam 3 petang, berlangsung majlis penutup Kem Kepimpinan Pengawas ASKAS yang telah disempurnakan oleh Tuan Suhail bin Mohamed Kamaruddin iaitu Pegawai Tugas-tugas Khas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat. Beliau telah menyampaikan ucapan penutup dengan penuh dengan isi nasihat dan motivasi kepada barisan Pengawas ASKAS. En. Muhammad Sherhan Nizam Abd Aziz, Pengurus Besar YBK juga hadir memberikan sokongan dan semangat pada majlis tersebut serta menyampaikan sijil kepada peserta sebagai simbolik berakhirnya kursus Kepimpinan Pengawas ASKAS siri 1 sesi 2022.

Diharapkan semua pengawas dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab membantu melancarkan lagi SOP ASKAS. Serta melahirkan bakal-bakal pemimpin generasi akan datang dengan penuh berkarisma dan berjati diri yang tinggi. Tahniah diucapkan kepada semua Team ASKAS yang terlibat menjayakan program ini.

GERBANG KARYAWAN YBK

HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

TEL : +60 (3) 7875 0036
E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial ;