AJIL (TERENGGANU), 4 November 2025 - Delegasi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang dalam rangka lawatan kerja 2 hari di Terengganu telah berkunjung ke Kampung Menerong untuk melihat Projek Ternakan Kelulut Komuniti MADANI yang diusahakan di sana. Kampung Menerong merupakan Kampung Angkat Madani di bawah seliaan UMT - Universiti Malaysia Terengganu.

Ketibaan delegasi YBK yang diketuai oleh YBhg. Dato' Haji Zainal Abidin Sakom selaku Pengerusi YBK telah disambut oleh Encik Muhammad Alwi To yang merupakan pengurus Galeri Kelulut Kampung Menerong. Beliau turut memberikan taklimat berkenaan latar belakang projek ternakan kelulut dan produk-produk hiliran yang dihasilkan. Demonstrasi penghasilan sabun daripada madu dan propolis kelulut juga turut diperlihatkan kepada hadirin, di samping lawatan ke galeri dan tapak ternakan kelulut. Pengerusi YBK turut mencuba sendiri madu kelulut yang diambil terus daripada sarang.

Turut bersama dalam kunjungan ini adalah YBhg. Datin Dr. Hajah Hartini Osman (Penasihat Pentadbiran YBK), Encik Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz (Pengurus Besar YBK), Ustaz Syaiful Akmal Addanan (Pengurus Pentadbiran YBK) dan Encik Audi Faliq Ibrahim (Pengurus Media dan Perhubungan Awam YBK), Encik Raedi Faris Mazli (Pengurus FELDA Neram Satu), Encik Ahmad Khairul Azman Mohd Razalli dan Encik Abdul Rahman Mohd Noor (rakan strategik YBK), Ts. Dr. Ezmahamrul Afreen Awalludin (Timbalan Pengarah - Pemindahan Ilmu Dan Masyarakat UMT), Puan Nurhasmira Abu Hassan (Penolong Pendaftar - Bahagian Pemindahan Ilmu UMT) dan pegawai dari Pusat Pemindahan Ilmu, Jaringan Industri dan Masyarakat UMT.

YBK akan memanfaatkan ilmu serta kerjasama strategik yang diperoleh daripada lawatan ini untuk membangunkan projek kelulut YBK dalam rangka mewujudkan 'agro-tourism' di outlet-outlet milik YBK.