KG. GESIR TENGAH, 13 Februari 2018 - Program Motivasi Semangat Mendaki NLP YBK memulakan siri pertamanya untuk tahun 2018 di SK Gesir Tengah, Hulu Selangor. Seramai 28 orang pelajar Tahun 6 dan 40 orang pelajar Tahun 5 telah mengambil bahagian dalam program ini.Β Sesi motivasi ini adalah sebahagian daripada program 'Cerdas Minda' anjuran SK Gesir Tengah dan turut dihadiri oleh ibu bapa pelajar, pegawai pendidikan ADUN Hulu Bernam, wakil daripada KEMAS di samping En. Abdul Razak Abdul Rashid selaku Guru Besar.

Sesi bermula pada jam 10 pagi dan disampaikan oleh saudara Audi Faliq Ibrahim dan Ustaz Syaiful Akmal Addanan. Pengisian tertumpu kepada konsep Semangat Mendaki yang digarap oleh YBK, di samping elemen-elemen NLP dan keibubapaan. Interaksi penceramah dan pelajar/ibu bapa ditekankan untuk menghidupkan suasana di samping aktiviti-aktiviti dalam sesi. Para pelajar memberi tumpuan sepenuhnya sehingga selesai sesi dan ibu bapa yang hadir turut memberikan kerjasama yang amat baik.

Dalam ucapan penutupnya, En. Abdul Razak Abdul Rashid, Guru Besar SK Gesir Tengah melahirkan ucapan terima kasih kepada YBK atas kesudian untuk hadir menjayakan sesi motivasi dan beliau amat berpuas hati dan berharap sesi seumpamanya dapat dilaksanakan di masa-masa akan datang demi kebaikan pelajar.