BANGI, 12 Mei 2015 - Seminar Serantau Berkenaan Kesejahteraan telah diadakan di Hotel Bangi Putrajaya. Perlaksanaan seminar ini merupakan kemuncak kepada Projek Kajian Kesejahteraan yang telah dijalankan oleh pihak Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama YBK, di mana hasil kajian telah dibukukan dan dilancarkan pada seminar ini. Seramai 9 orang pembentang dari negara serantau seperti Filipina, Thailand dan Bhutan di samping Malaysia telah membentangkan kertas kerja mereka.

Seminar telah dirasmikan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Datuk Abdul Rahman Dahlan dan turut dihadiri oleh Pengerusi YBK, YBhg. Dato' Zainal Abidin Sakom serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) YBhg. Prof. Dato' Dr. Mohammad Shatar Sabran mewakili Naib Canselor UPM. Buku 'Menjejaki Kesejahteraan Dari Kacamata Komuniti Malaysia' yang merumuskan hasil kajian UPM-YBK turut dilancarkan.

Sesi pembentangan kertas kerja telah berlangsung seawal jam 9 pagi dan dibahagikan kepada 2 sesi. Resolusi seminar dan penutup telah disampaikan oleh Pengerusi Seminar, YBhg. Prof. Dato' Dr. Sulaiman Md Yasin. Resolusi seminar adalah seperti berikut;

Isu Utama

  • Pembangunan sumber manusia dilihat pada perspektif baru dan memerlukan penilaian yang berbeza.
  • Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak mencukupi dalam menentukan kesejahteraan sesebuah negara.
  • Kesejahteraan objektif yang bergantung sepenuhnya kepada KDNK sebagai pengukur adalah tidak tepat.
  • Tiada indikator yang boleh digunakan untuk membantu pihak berkuasa tempatan untuk mengenalpasti kelestarian penduduk setempat.
  • Pembentukan polisi kesejahteraan sosial gagal mengintegrasikan kesejahteraan kewangan di dalam perancangan.
  • Jurang pendapatan antara miskin dan kaya masih lagi wujud.
  • Penghijrahan daripada luar bandar ke bandar tidak mengukuhkan tahap kebahagiaan.
  • Kecetekan ilmu pengurusan kewangan di kalangan belia adalah amat ketara.
  • Daripada aspek kesihatan, kebanyakan negara tidak memberi penekanan kepada kepentingan penjagaan kesihatan.

Pelan Tindakan

  • Mewujudkan indeks Kebahagian Negara Kasar (Gross National Happiness) sebagai pengukur makro kesejahteraan negara
  • Program kebajikan untuk kumpulan berpendapatan rendah perlu diperkukuh dan diperluaskan.
  • Memperkasa kesejahteraan sosial bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi memerlukan tindakan kolektif semua pemegang berkepentingan (stake holders).
  • Pihak berkuasa tempatan memainkan peranan utama dalam merangka kesejahteraan menggunakan pendekatan 'bottom-up'.
  • Belia perlu dilatih dengan ilmu pengurusan kewangan dan majikan harus memastikan pekerjanya faham dan arif berkenaan pengurusan kewangan diri.
  • Fokus harus diberikan kepada ciri psikologi penduduk luar bandar bagi membantu ke arah modernisasi.
  • Golongan muda digalakkan melakukan aktiviti fizikal bagi meningkatkan input kepada kesejahteraan.

Strategi

Bagi memastikan koordinasi dan pelaksanaan yang berjaya bagi perancangan di atas, satu usaha kolektif adalah perlu di antara semua pemegang berkepentingan secara langsung atau sebaliknya. Perancang polisi perlu memainkan peranan yang lebih aktif. Dalam hal ini, institut kajian, NGO dan universiti boleh menjadi pemangkin dan bekerjasama dengan kerajaan, swasta, NGO dalam dan luar negara bagi merangka program pembinaan kesejahteraan.

GERBANG KARYAWAN YBK

HUBUNGI KAMI

YAYASAN BASMI KEMISKINAN
No. 32 & 34, Jalan SS7/24,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

TEL : +60 (3) 7875 0036
E-MEL : ybk@ybk.org.my

Ikuti YBK di Media Sosial ;