01 - Seminar Antarabangsa Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar Ke Arah Pembasmian Kemiskinan
02 - Muzakarah Penggubalan Model Pembasmian Kemiskinan Menurut Perspektif Islam
03 - Konvokesyen Kemiskinan 2002
04 - Kertas Kajian Kemiskinan Desa Kasih 2001
05 - Kertas Kajian Kemiskinan Desa Kasih 2002
06 - Kertas Kajian Kemiskinan Desa Kasih 2003
CATATAN : UNTUK MENDAPATKAN KERTAS KERJA PENUH SILA KE MENU MUAT TURUN
01 - SEMINAR ANTARABANGSA
Pengalaman Antarabangsa Di Dalam Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar
Persoalan mengenai jaringan usahawan telah dibangkitkan kerana ini dianggap penting dalam proses pembangunan usahawan. Adalah disarankan supaya agensi-agensi pembangunan luar bandar menubuhkan kemudahan jaringan (networking) bagi membantu usahawan-usahawan luar bandar mewujudkan interaksi dengan rakan sejawat mereka di dalam mahupun di luar negara. Pengalaman menunjukkan bahawa sebahagian besar daripada golongan usahawan amat bergantung kepada pengaruh politik dan kuasa untuk mengembang dan memperluaskan jaringan perniagaan mereka. Pendekatan ini dirasakan tidak sesuai. Sebaliknya para usahawan hendaklah mengambil inisiatif sendiri untuk mengembangkan jaringan perniagaan mereka. Banyak pendapat mengatakan bahawa jaringan usahawan merupakan teras kepada kejayaan dan daya saing perusahaan. Oleh demikian usahawan-usahawan perlu meluangkan masa dan tenaga untuk membina pangkalan data mengenai perniagaan serta maklumat-maklumat lain yang berkaitan
Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar: Pengalaman Malaysia
Banyak program keusahawanan telah dijalankan di negara ini dan penyertaan usahawan wanita luar bandar didapati amat menggalakkan. Namun demikian apa yang diperhatikan ialah sebilangan besar daripada ushawan wanita tersebut terlibat dalam aktiviti perniagaan dan perusahaan secara kecil-kecilan. Kebanyakan mereka juga tidak mempunyai modal yang mencukupi dan pasaran yang luas. Jelas bahawa usahawan wanita luar bandar lebih banyak tertumpu kepada bidang-bidang tradisi dan pertanian yang kurang produktif berbanding dengan aktiviti perkilangan ataupun perkhidmatan.
Cabaran Sosial, Kebudayaan & Politik Dalam Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar
Memandangkan pembangunan usahawan wanita kini sudah menjadi penting dalam pembangunan negara maka amat perlu dikenalpasti strategi-strategi khusus bagi merangka program yang bersesuaian dengan keperluan usahawan wanita termasuk di luar bandar. Selain daripada itu garis panduan dasar juga perlu digubal untuk mengenalpasti cabaran-cabaran yang akan dihadapi oleh usahawan menjelang alaf ke-21. Halacara yang komprehensif hendaklah dibentuk untuk menjadikan pembangunan usahawan wanita luar bandar lebih efektif dan berdaya maju.
Sumber Pembangunan Usahawan : Kewangan, Teknologi dan Perkhidmatan Sokongan
Satu jawatankuasa penyelarasan diperingkat nasional perlu diwujudkan untuk meneliti dasar dan menentukan halatuju pembangunan usahawan wanita. Ia juga akan menyelaraskan aktiviti agensi kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) serta kesemua program pembangunan keusahawanan yang sedia ada. Selain daripada itu sebuah agensi seranta juga perlu ditubuhkan untuk menyediakan maklumat mengenai sumber-sumber modal, sokongan teknikal, saluran pasaran, latihan dan lain-lain khidmat sokongan.
Keberkesanan Mikro-Kredit dalam Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar : Pengalaman AIM
Bagi meninjau keberkesanan program mikro kredit yang dianjurkan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) satu kaji selidik telah dijalankan keatas 294 peminjam yang mempunyai pendapatan antara RM400 hingga RM13,000 sebulan dan tertlibat dengan aktiviti pertanian, perikanan, perniagaan dan lain-lain. Walaupun aktiviti-aktiviti ini diusahakan secara warisan namun hasil daripada program berpenyeliaan yang diperkenalkan oleh AIM, ia telah berjaya meningkatkan pendapatan peminjam.
Impact of Economic & Financial Crises in the ASEAN Region on Microcredit Programmes
Sejak pertengahan tahun 1997 beberapa negara dirantau ini telah dilanda krisis kewangan dan ekonomi ekoran daripada pengapongan mata wang baht. Krisis tersebut telah berlaku kerana beberapa sebab dalaman dan luaran dan di antara negara-negara yang terjejas termasuklah Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Korea. Di antara impak yang ketara ialah terhadap pembangunan sosial akibat daripada peningkatan kadar pengangguran, kenaikan kadar inflasi dan kemerosotan pendapatan.
02 - MUZAKARAH
LATAR BELAKANG
Usaha pembasmian kemiskinan di Malaysia memang terbukti serius dan diberi tumpuan oleh pihak kerajaan, bdan-badan bukan kerajaan, pihak swasta, korporat dan individu dengan menggunakan modul dan pendekatan yang pelbagai. Namun sebaik manapun usaha ini dibuat, ruang untuk meningkatkan keberkesanan program pembasmian kemiskinan itu tetap wujud. Apatah lagi jika ruang pembaikan yang dicari ini diharapkan akan menepati landasan Islam dan diberkati oleh Allah SWT.
Sejarah Khalifah Umar bin Abdul Aziz berjaya mensifarkan kadar kemiskinan pada zaman pemerintahan beliau, boleh diulang lagi. Atas semangat inilah Muzakarah Penggubalan Model Pembasmian Kemiskinan Menurut Perspektif Islam dianjurkan. Diharap muzakarah ini akan menghasilkan suatu model pembasmian kemiskinan yang boleh diguna pakai oleh semua lapisan masyarakat dan badan-badan yang terlibat dalam usaha membasmi kemiskinan di samping memberi syor dan strategi kepada pihak kerajaan menjelang penggubalan Rancangan Malaysia Ke–8, 2001–2005
OBJEKTIF
Menilai semula keberkesanan pendekatan-pendekatan pembasmian kemiskinan selama ini
Mengenal pasti ruang-ruang pembaikan yang perlu diberi perhatian agar suatu model yang berlandaskan Islam dibuat.
Mengenal pasti cabaran-cabaran dan kekangan-kekangan yang perlu dihadapi.
Mengenal pasti persediaan yang perlu dilaksanakan
Menentukan langkah-langkah susulan demi merealisasikan hasrat muzakarah ini
PENGANJUR
Penganjur utama muzakarah ini ialah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bebas yang telah berusia 10 tahun. Bersempena sambutan satu dekad YBK, maka muzakarah ini diadakan bagi tujuan mendapatkan idea-idea dan pendekatan baru pembasmian kemiskinan menurut perspektif Islam daripada para ilmuan, organisasi, agensi dan pelaksana program seperti ini. YBK amat terhutang budi kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) Cawangan Terengganu, Institut Perkembangan Minda (INMIND), jabatan-jabatan dan agensi-agensi serta individu-individu yang telah banyak memberi sokongan dalam menjayakan muzakarah ini.
Kertas Kerja 2 - Model Pembasmian Kemiskinan Dari Perspektif Islam Dan Penaksiran Semula Konsep Serta Takrif (AIDIT HAJI GHAZALI, INSTITUT PERKEMBANGAN MINDA, INMIND)
ABSTRAK
Kemiskinan dilihat oleh Islam sebagai sesuatu keadaan yang mesti diatasi kerana kesan buruknya ke atas individu, masyarakat dan keunggulan agama Islam sebagai penyelesaian masalah sosial, ekonomi, politik, budaya dan sahsiah. Dalam masa ramai pihak yang akur bahawa usaha kerajaan Malaysia dan agensi-agensi yang terlibat memang sangat dihargai, namun ruang untuk pembaikan masih wujud. Persoalannya adalah, apa yang patut kita jadikan sebagai landasan pembaikan ini?
Selaku umat Islam, kita perlu melihat dan menerima pendekatan Islam sebagai pendekatan terbaik. Walaupun prinsip dan sistem nilai Islam tetap tidak berubah, namun pendekatan yang boleh dikatakan sebagai Islami adalah banyak pemilihan. Sesuatu pendekatan itu bergantung pada keadaan yang dihadapi, serta mengikut tuntutan semasa dan setempat. Kertas kerja ini berusaha untuk melakarkan kepada kita salah satu pendekatan yang boleh dipertimbangkan. Pelbagai rangka skima dicadangkan untuk tujuan pelaksanaan pembasmian kemiskinan. Dalam masa yang sama, usaha untuk membawa kita mengkaji keperluan penafsiran semula konsep dan takrif yang bersabit dengan isu ini juga dimuatkan dalam kertas kerja ini
Kertas Kerja 3 - Cabaran-Cabaran Dalam Merealisasikan Pembasmian Kemiskinan Menurut Perspektif Islam (Prof. Dr. Jahara Yahaya Fakulti Ekonomi, Universiti Malaya)
ABSTRAK
Semenjak perlaksanaaan Dasar Ekonomi Baru, Malaysia telah cukup berjaya dalam usaha pembasmian kemiskinan. Antara lain ini boleh dilihat dari pendapatan masyarakat yang meningkat dengan pesat, peningkatan peranan golongan Islam (bumiputera) dalam ekonomi dan semakin berkurangnya insiden kemiskinan. Walau bagaimanapun beberapa cabaran penting masih dihadapi. Masalah kemiskinan mutlak yang serius masih wujud. Di samping itu terdapat jurang relatif yang semakin lebar di antara pendapatan di kegiatan tradisional (seperti pertanian di mana orang Islam masih banyak terlibat) dan sektor moden terutama sektor perindustrian.
Melalui pendekatan pembasmian kemiskinan menurur perspektif Islam berbagai cabaran masih dihadapi di Malaysia akan dikaji. Ini dilakukan dengan menganalisa masalah-masalah kemiskinan yang dihadapi masyarakat Islam di negara ini, dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh institusi Islam dalam mengatasi masalah tersebut.
Dalam konteks ini akan diperhatikan sejauhmana pengutipan zakat telah berjaya mengatasi masalah kemiskinan di Malaysia dan juga masalah-masalah yang masih lagi dihadapinya. Perubahan sikap, peningkatan kemahiran dan pendidikan merupakan unsur penting yang perlu diperhatikan dalam pembasmian kemiskinan menurut perspektif islam. Dalam konteks ini akan diperhatikan cabaran-cabaran yang dihadapi untuk meningkatkan keazaman masyarakat Islam untuk bekerja dan meningkatkan kemahiran dan pendidikan sebagai usaha untuk mengatasi masalah kemiskinan yang mereka hadapi.
Kertas Kerja 4- Strategi Dan Kaedah Pelaksanaan Model Pembasmian Kemiskinan Yang Menyeluruh Serta Berkesan - (Prof. Dr. Sulaiman Yassin Kolej Universiti Terengganu)
Abstrak
Manusia telah mengenal kemiskinan dan golongan miskin sejak zaman dahulu lagi. Kemudian datang berbagai falsafah dan pemikiran silih berganti untuk menghuraikan masalah kemiskinan ini dan meringankan penderitaan golongan miskin. Di negara kita usaha mengurangkan kemiskinan telah melibatkan berbagai pihak dari agensi kerajaan dan agensi bukan kerajaan (NGO) semenjak merdeka lagi. Cetusan dari permasalahan ini, demografi dan perspektif Islam. Hasilnya banyak pemikiran dan perancangan mengenai kemiskinan telah dilakukan bagi merealisasikan kesejahteraan kepada penduduk Malaysia.
Kertas kerja ini cuba menilai strategi-strategi yang boleh dilaksanakan bagi mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia yang membabitkan lima tonggak utama iaitu pertumbuhan ekonomi mampan, sistem governan, pembangunan sosial, penghayatan Islam dan jaminan keselamatan sosio-ekonomi. Seterusnya cadangan tentang kaedah perlaksanaan dan intervensi dibincangkan yang melibatkan berbagai aktiviti di sektor pertanian, pendidikan, kesihatan sosial, pengurusan agensi perlaksanaan dan penglibatan institusi Zakat dan Baitulmal yang lebih bermakna. Perlaksanaan strategi mengurangkan kemiskinan memerlukan satu usaha yang komprehensif dan lantaran itu kertas ini juga cuba melihat peranan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dan agensi-agensi terlibat.
Pembentangan Bengkel 1 - YAYASAN BASMI KEMISKINAN (YBK) NEGERI SELANGOR (TUAN HAJI MOHAMED TAMIN MOHD. YUSUF PENGURUS BESAR, YBK NEGERI SELANGOR)
PENUBUHAN - Yayasan Basmi Kemiskinan ditubuhkan pada 16 Mac 1990 dan didaftarkan di bawah Akta (Perbadanan) Amanah Ordinan,1952 (No. 73 of 1952) YBK dilancarkan secara rasmi pada April 1990 oleh Tan Sri Dato’ Haji Muhammad Haji Muhd. Taib.
FALSAFAH - Beri seorang itu ikan, dia akan memakannya sehari. Ajarkan dia menangkap ikan, dia akan dapat menyara dirinya sepanjang hayat”.
DASAR YBK - Membasmi kemiskinan melalui program-program yang berteraskan prinsip membantu golongan termiskin menolong diri mereka sendiri.
Pembentangan Bengkel 2 - Zakat Dan Kemiskinan (Tuan Haji Mohamed Dahan Bin Haji Abdul Latiff, Pengurus Besar, Ppz Wilayah Persekutuan)
PENGENALAN
“Dan pada harta-harta mereka, ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta) (Adz-Dzaariyaat (51) : Ayat 19) Tujuan kertas kerja ini ialah untuk memberi satu perspektif berkenaan hubungan institusi zakat di Malaysia dengan usaha menghapus kemiskinan di negara ini.
Tajuk Lain -
Kemiskinan Di negara ini
Institusi Zakat Di Negara Ini
Asnaf-Asnaf Perbelanjaan Zakat
Kemampuan Institusi Zakat Untuk Menolong Membasmi Kesmikian
Pembentangan Bengkel 3 - PERANAN AMANAH IKHTIAR MALAYSIA, AIM (Mohd. Asri Abdul, Pengarah Bahagian Pinjaman)
Ada sesetengah golongan miskin yang menyertai program AIM tidak dapat bertahan lama dan berhenti.
Aspek mikro kredit sebagai alternatif.
Rasa tanggungjawab di kalangan golongan yang miskin yang memeinjam. Setiap pnjaman yang diberi mestilah kepada golongan yang berupaya (able body) dan berkemampuan untuk mengusahakan sesuatu perniagaan.
Selain dari pinjaman atau bantuan yang diberikan, yang lebih penting ialah perubahan sikap.
AIM hanya memberikan kepada golongan wanita. Mengapa, sedangkan lelaki adalah pemimpin. Dalam hal ini, wanita hanyalah sebagai wakil kepada seluruh keluarga. Dalam banyak keadaan, pinjaman yang dibuat atas nama wanita adakalanya digunakan oleh si suami atau si anak.
AIM juga menekankan konsep menyimpan kepada para pesertanya. Dalam hal ini, semasa meminjam, mereka juga menyimpan sekurang-kurangnya RM1 sehari dengan AIM. AIM hanya memegang amanah untuk menyimpan di mana duit tersebut akan diserahkan kepada para penyimpan.
Matlamat AIM juga ialah untuk membina ekonomi dan syakhsiyyah.
Pembentangan Bengkel 4- Strategi Dan Kaedah Pelaksanaan Pembasmian Kemiskinan Yang Berkesan - (Prof. Dr. Sulaiman Yassin , Timbalan Rektor, Kolej Universiti Terengganu)
Pendekatan Pembangunan Dari Bawah Ke Atas
Pembangunan perbandaran menggunakan pendekatan ini adalah lebih murni kerana kesejahteraan sesetengah keluarga akan turut mempengaruhi kesejahteraan sesebuah kampung dan seterusnya sesebuah bandar.
ASPEK PENDIDIKAN
Pendidikan merupakan aspek yang terpenting dalam usaha membasmi kemiskinan kerana ia merupakan aset kepada kesinambungan pembangunan negara. Tanpa penyediaan kepada aspek pendidikan yang sewajarnya, masyarakat Melayu akan terus terpinggir.
Keadaan sistem persekolahan seperti sistem sekolah kebangsaan perlu kepada penilaian semula agar dapat menjana pembinaan bangsa. Kemudahan-kemudahan di bilik-bilik darjah dan bilik guru juga wajar diberikan perhatian agar setanding dengan kemudahan yang dimiliki oleh sekolah-sekolah swasta.
Faktor galakan keluarga juga merupakan elemen penting dalam memastikan kecemerlangan pembelajaran anak-anak. Ibu bapa seharusnya menjadi contoh kepada anak-anak terutamanya dalam aspek meningkatkan ilmu pengetahuan.
ASPEK KESIHATAN
PENAKRIFAN SEMULA MAKSUD KEMISKINAN
KEMAMPUAN SEKTOR PERTANIAN BERPERANAN SEBAGAI ASAS KEPADA PEMBASMIAN KEMISKINAN
SIKAP BELAS EHSAN DI KALANGAN MASYARAKAT YANG BERKEMAMPUAN
RUMUSAN DAN RESOLUSI BENGKEL 4
PELAN TINDAKAN BAGI PENGGUBALAN MODEL PEMBASMIAN KEMISKINAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
MUKADIMAH
Salah satu daripada tujuan Muzakarah Penggubalan Model Pembasmian Kemiskinan Menurut Perspektif Islam diadakan adalah bertujuan untuk membentuk Pelan Tindakan yang mengandungi strategi dan program ke arah pembasmian kemiskinan melalui pendekatan yang lebih menyeluruh dan efektif.
MASALAH KEMISKINAN DI MALAYSIA
Masalah kemiskinan merupakan suatu masalah yang masih berterusan walaupun Malaysia telah mencapai usia kemerdekaan selama 43 tahun. Pelbagai pendekatan pembasmian kemiskinan telah diambil terutamanya melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB, 1971-1990) sehinggalah kepada Dasar Pembangunan Nasional (DPN, 1991-2000).
Pada amnya, masalah kemiskinan mutlak telah berjaya diatasi dengan pengurangan kadar kemiskinan ke tahap yang rendah di mana dengan keadaan ini bermakna masalah kemiskinan mutlak lebih tertumpu di kalangan golongan miskin, terutama di kawasan desa dan daerah terpinggir dan beberapa negeri tertentu.
03 - KONVOKESYEN
Dasar Strategi Pelaksanaan Program Pembangunan Kesejahteraan Rakyat ( Zaharudin Yaacob, KPLB)
Tujuan - kertas ini adalah untuk menerangkan dasar, strategi pelaksanaan dan program-program yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dibawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) dalam Rancangan Malaysia yang Ke lapan (RMK- 8).
Latarbelakang - kadar kemiskinan dikalangan rakyat Malaysia pada tahun 1999 ialah 7.5%, manakala kadar kemiskinan pula ialah 1.4%. Memandangkan kemajuan besar telah dicapai dalam rangka rancangan terdahulu, isu kemiskinan bukan lagi menjadi isu utama dalam tempoh Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3). Walaubagaimanapun, Dasar Wawasan negara (DWN) yang merupakan teras kepada RRJP3, masih meneruskan Agenda mewujudkan masyarakat yang saksama menerusi strategi serampang dua mata membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat. Justeru itu, dalam tempoh RMke8, usaha-usaha pembasmian kemiskinan akan diorientasikan semula untuk mencapai matlamat mengurangkan kadar kemiskinan kepada 0.5% pada tahun 2005, dengan tumpuan kepada pembasmian kemiskinan dikalangan kecil miskin di kawasan terpencil dan dikalangan Orang Asli serta kumpulan minoriti Bumiputra yang lain di Sabah dan Sarawak serta meningkatkan pendapatan golongan yang berpendapatan rendah, khususnya mereka dalam kumpulan pendapatan 30% terendah. Lanjutan daripada itu, kesemua program pembasmian kemiskinan, termasuk Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), yang merupakan program utama pembasmian kemiskinan oleh KPLB dalam tempoh Rancangan Malaysia yang ke Tujuh (RM7), diperkemaskan dibawah Skim Pembangunan kesejahteraan Rakyat (SPKR)
Fenomena Kemiskinan : Perspektif Sektor Ekonomi (Prof. Madya Dr. Hj Abdullah Sudin, UiTM)
Pendahuluan - kemiskinan ialah satu masalah yang amat lama ujud dalam kehidupan manusia. Usaha demi usaha dijalankan untuk mengatasinya, namun kemiskinan tetap menjadi satu kenyataan dalam kehidupan manusia. Kertas kerja ini bertujuan untuk menerokai kemiskinan yang ujud, mengenalpasti memahami dan menganalisis dengan lebih dekat terutama kemiskinan di Malaysia. Beberapa pandangan dikemukakan untuk membasmi kemiskinan untuk perhatian bersama.
Fenomena Kemiskinan di Dunia - Kenichi Ohmae 1996 menjelaskan bahawa dari segi kegiatan ekonomi dunia hari ini telah beroperasi merentasi sempadan politik teutama dengan mengambilkira 4 “1’s” iaitu Investment, Industry, Information Technology dan Individual Consumers. Suasana ini sepatutnya akan memberi satu cahaya baru kepada kemakmuran sejagat. Namun rata-rata kemiskinan masih mencengkam hidup manusia terutama di dunia ketiga. Mengikut World Bank 1990, “ a universal poverty line is needed to permit cross-country comparison and aggregation. This global poverty line is inevitably somewhat artbitrary. Rather than settle for a single number, this chapter employs two : RM275 and RM370 per person a year. The use of the upper poverty line-RM370 – gives an estimate of 1,115 million people in the developing countries in poverty in 1985. This is roughly one-third of the total population in developing world. Of these, 630million – 18 percent of the total population of the developing world – were extremely poor: Their annual consumption was less than RM275, the lower poverty line” (World Bank, 1990; 27028). Satu dekad kemudian World Bank 2000 melaporkan lagi bahawa “the world has deep poverty amid plenty. Of the World’s 6 billion people, 2.8billion – almost half- live on less than $2 a day, and 1.2 billion – a fifth live on less than $1 a day, with 44 percent living in South Asia” (World Bank 2000:3), World Bank 2000, seterusnya menjelaskan bahawa di semua kawasan jumlah penduduk yang hidup dengan US$1sehari telah meningkat. Di Asia Selatan umpamanya jumlah penduduk miskin meningkat dari 474milion kepada 522 milion dalam satu dekad; Amerika Latin dan Carribean jumlah kemiskinan meningkat sebanyak 20%. Manakala di Eropah dan Asia Tengah jumlah kemiskinan melonjak dari 1.1milion kepada 24milion. Pada masa yang sama dikawasan Sub-Sahara Afrika jumlah kemiskinan bertambah dari 217 milion pada 291milion.
Strategi Mengatasi Kemiskinan: Dahulu, Sekarang & Masa Depan (Dr. Nik Fuad Kamil)
Pendahuluan - kemiskinan merupakan konsep yang mengandungi berbagai pengertian dan tanggapan serta mudah dipengaruhi oleh sentimen. Kemiskinan pada umumnya sering digambarkan sebagai keadaan kekurangan zat makanan yang keterlaluan serta keperluan asas untuk hidup seperti makaanan, tempat tinggal dan pakaian disamping kebuluran dan kelaparan meluas. Umumnya, kemiskinan tidak hanya terbatas kepada kegagalan memenuhi keperluan kebendaan, tetapi juga keperluan psikologi dan politik.
Isu kemiskinan kini bukan hanya tertumpu kepada masalah memenuhi keperluan kebendaan tetapi ia juga meliputi masalah kemiskinan moral, akhlak dan sikap. Ini adalah kerana masyarakat kini semakin liberal dan mungkin terdedah kepada geajala-gejala yang tidak sihat. Dalam kerancakan dunia untuk menempuh era dunia tanpa sempadan, isu-isu kemiskinan moral adalah perlu diberi perhatian yang serius.
Strategi pembasmian kemiskinan dulu dan sekarang mempunyai sedikit perbezaan. Jika dahulu tumpuan lebih diberikan kepada pembasmian kemiskinan, penyusunan semula masyarakat dan memenuhi keperluan asas untuk hidup, tapi kini penekanan adalah lebih kepada pembasmian kemiskinan dan pembangunan pesat Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).
Dalam rancangan Malaysia Kelapan (RM ke-8), teras pembasmian kemiskinan adalah untuk mengorientasikan semula program pembasmian kemiskinan bagi mengurangkan kadar kemiskinan kepada 0.5% menjelang tahun 2005. Dalam program ini sasaran telah dikenalpasti dengan lebih khusus misalnya masyarakat miskin dikawasan luar bandar. Disamping itu, penekanan adalah perlu untuk meningkatkan pemilikan ekuiti dan penyertaan berkesan golongan Bumiputera dalam sektor korporat, menambah bilangan Bumiputera dalam bidang pekerjaan berpendapatan tinggi dan memperkukuhkan pembangunan MPPB.
Diperingkat Antarabangsa, kemiskinan secara global boleh digambarkan sebagai pergantungan sesebuah negara dengan negara lain. Ini termasuklah pergantungan dari segi kewangan, teknologi dan kebebasan. Isu pergantungan ini merupakan salah satu punca timbulnya masalah kemiskinan atara negara.
Kemiskinan dari Perspektif Pekebun Kecil Getah & Kelapa Sawit (Syed Barkat Syed Ali, Persatuan Pekebun Kecil Kebangsaan)
Tujuan Kertas Kerja - suatu gambaran yang menyeluruh berkenaan dengan kemiskinan dikalangan pekebun kecil getah dan kelapa sawit dan seterusnya memberi syor bagaimana masalah tersebut boleh ditangani.
Apa dia Kemiskinan? - Secara khusus, kemiskinan adalah salah satu keadaan dimana seseorang tidak dapat memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian dan perumahan. Pengertian yang lebih luas merangkumi juga aspek kemiskinan iman(kerohanian), kemiskinan ilmu (mental) dan kemiskinan akhlak. Pokok pangkal kemiskinan berpunca daripada pendapatan yang kurang daripada apa yang diperlukan untuk memperolehi keperluan asas.
Kemiskinan dari Perspektif Penanam Padi (Pn Hjh Shareen Said, MADA)
Pengenalan - Kemiskinan adalah satu isu yang sering menjadi tajuk perbincangan diperingkat dalam mahupun luar negeri. Perbincangan berkenaan isu ini sering dikaitkan dengan proses atau kesan daripada pertumbuhan dan perkembangan ekonomi. Masalah kemiskinan masih didapati wujud walaupun pertumbuhan ekonomi berlaku disesebuah negara dan ia merupakan salah satu masalah utama yang perlu diberi perhatian.
Penyelidik-penyelidik melihat kemiskinan dari berbagai-bagai dimensi samada melalui aspek pemenuhan kemudahan asas, pendapatan, pengeluaran, pemakanan, pendidikan, kesihatan, kerohanian atau sebagainya. Dimensi kemiskinan yang berbagai ini menyebabkan ukuran kemiskinan menjadi subjektif, sering diperdebatkan dan tidak dapat lari daripada pertimbangan nilai. Justeru itu, untuk memudahkan penilaian terhadap isu kemiskinan, ianya boleh diukur melalui agihan pendapatan.
Didalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RMke7), 1996-2000, takrif paras kemiskinan yang digunapakai ialah berasaskan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) RM425.00 sebulan bagi saiz Isirumah 4.6 di Semenanjung, RM601.00 sebulan bagi saiz Isirumah 4.9 di Sabah dan RM516.00 sebulan bagi saiz Isirumah di Sarawak. Sementara bagi termiskin pula ialah mereka yang memperolehi pendapatan separuh atau kurang daripada PGK tersebut.
Walaupun Malaysia telah mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan (7.3% diantara 1971-75, 8.6% diantara 1976-1980 dan 8.4% diantara 1990-1995) sehinggalah era kegawatan ekonomi mulai 1997, namun tetap wujud dinegara ini dan ianya merupakan “central issue” yang sentiasa ditangani oleh Kerajaan didalam kontek pembangunan negara. Dari segi evolusi sejarah, pembangunan kemiskinan sentiasa merupakan strategi asas (basic strategi) didalam mana-mana Rancangan Pembangunan Lima Tahun Kerajaan dinegara ini. Sejak Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970) lagi, pembasmian kemiskinan telah ditangani menerusi pendekatan pembangunan luar bandar secara berpakej.
Walaupun matlamatnya adalah untuk membasmi kemiskinan tetapi disebabkan dengan proses pengagihan yang kurang sempurna maka wujud perbezaan ekonomi diantara kaum, sektor aktiviti, bandar dan luar bandar. Disebabkan oleh jurang perbezaan inilah timbulnya berbagai-bagai isu dimana kerajaan perlu merangka strategi penyusunan semula masyarakat dibawah DEB, yang merangkumi pengujudan peluang-peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan.
Disamping menumpukan perhatian kepada pengagihan yang saksama, strategi-strategi khas untuk meningkatkan pendapatan melalui komoniti juga diberi perhatian seperti padi, kelapa dan nelayan kerana disektor-sektor ini tertumpunya golongan miskin yang terbesar.
Pengalaman KEDA dalam Program Pembasmian Kemsikinan (Dato’ Mohammad Tajudin Bakar, KEDA)
Senario
Isu Ketidak Seimbangan
Keluasan kawasan operasi KEDA ialah 8,279KM persegi (834,413hektar) atau 87.3% keluasan Negeri Kedah iaitu merupakan kawasan yang terletak diluar kawasan MADA.
Kebanyakan pembangunan sosio-ekonomi tertumpu kepada kawasan pantai dan bandar-bandar besar.
Keadaan topografi Negeri Kedah – secara geo-fizikal boleh dibahagi kepada tiga wilayah iaitu :-
Wilayah dataran – kawasan padi (MADA)
Wilayah lembah (Kedah Valley) dan
Wilayah pergunungan – sempadan negara Thailand
Kebocoran ekonomi – mengalir keluar
Pergantungan kepada ekonomi sara diri (subsistence)
Kawasan keselamatan (KESBAN)
Kurang lebihan perbandingan (comparative advantage)
Lokasi kurang strategik.
INSIDEN KEMISKINAN TINGGI – melebihi 33% pada tahun 1980an. Dianggarkan lebih 80,000 keluarga miskin di seluruh negeri Kedah pada tahun 1981.
Kemiskinan Pendidikan (Hj Mohd Hoesne Hussain, YKK)
Latarbelakang - Kemiskinan adalah satu fenomena hidup universal. Tidak ada sebuah negara di dalam dunia yang tidak mempunyai kelompok-kelompok masyarakat yang miskin. Di dalam akademia, kemiskinan boleh dibahagikan kepada 2 kategori iaitu kemiskinan mutlak dan kemiskinan relatif. Dipercayai kemiskinan mutlak boleh dihapuskan dengan adanya strategi Pembangunan Secara Total. Namun demikian, kemiskinan relatif ini adalah dinamik. Oleh kerana adanya perbezaan potensi kemahiran hidup diantara kumpulan-kumpulan masyarakat, sudah tentu akan mewujudkan perbezaan kualiti hidup didalam beberapa aspek.
04 - KAJIAN 2001
Kajian Kemiskinan Desa Kasih 2001
YBK telah menjalankan kajian ke atas seluruh 364 buah rumah dan 1,974 orang penduduk di Desa-desa Desa-Desa Kasih Tebuk Pulai Tengah, Parit 8 ½ Barat, Batu 2 Tebuk Pulai, Merbau Berdarah, Tg Jawa, Bagan Nakhoda Omar, Sekendi dan Sg Kajang di Selangor. Hasil kajian menunjukkan hanya 91% atau 332 buah rumah telah didiami dan sebanyak 319 buah rumah (87.6%) didapati masih kukuh. Terdapat seramai 985 orang (49.9%) lelaki dan 989 orang (50.1%) perempuan yang menetap di Desa Kasih di mana secara puratanya IR mempunyai 5.9 orang ahli.
Sebahagian besar penduduk mempunyai latarbelakang sekolah rendah (841 orang atau 42.6%) dan sekolah menengah (542 orang atau 27.5%). Hanya 16 orang (0.8%) berkelayakan pra-universiti, 48 orang (4.6%) mempunyai sijil kemahiran, 8 sijil agama, 28 orang (1.4%) diploma dan 5 orang ijazah (0.3%)
Seramai 740 orang (37.5%) masih sedang bersekolah, 744 orang telah tamat sekolah, 163 orang (8.3%) tidak pernah sekolah dan 327 orang (16.6%) masih muda. Walau bagaiamanapun seramai 97 orang atau 12.5% daripada mereka yang berumur 7-17 gagal meneruskan pelajaran mereka.
Bilangan penduduk yang berumur 16-64 tahun adalah seramai 1,013 orang dan 624 orang (51.3%) daripadanya merupakan tenaga buruh. Daripada jumlah tersebut mereka yang bekerja adalah 509 orang dan bilangan yang tidak bekerja pula seramai 132 orang (21.3% kadar pengangguran)
Majoriti penduduk yang bekerja merupakan kumpulan pekerja pertanian iaitu 414 orang (78.1%). Seramai 70 orang (13.2%) bekerja sebagai operator kilang, 21 orang (4.0%) pekerja pertukangan, 16 orang (3.0%) pekerja perkhidmatan, 2 orang pekerja perkeranian, 6 orang pekerja juruteknik dan seorang kumpulan profesional
Purata pendapatan bagi 332 isi rumah Desa Kasih adalah RM595.66 sebulan dan pendapatan per kapita adalah RM100.18. Berdasarkan pendapatan isi rumah tersebut, terdapat 139 isi rumah adalah miskin (54.5%) dan merupakan isi rumah termiskin (12.7%)
Seramai 39 isi rumah (11.7%) memiliki sebuah kereta bermotor, 268 isi rumah (80.7%) memiliki sekurang-kurangnya sebuah motorsikal dan 210 isi rumah (63.3%) sekurang-kurangnya sebuah memiliki basikal. Disamping itu seramai 185 isi rumah (64%) memiliki peti sejuk, 130 isi rumah (39%) memiliki mesin basuh, 262 isi rumah (79%) memiliki TV, 69 isi rumah memiliki VCD Player dan 167 isi rumah (50%) memiliki radio. Terdapat juga seramai 5 isi rumah (2%) memiliki gelombang ketuhar, 23 isi rumah (7%) memiliki telefon bimbit dan 6 isi rumah (2%) memiliki komputer peribadi.
05 - KAJIAN 2002
Kajian Kemiskinan Desa Kasih 2002
YBK telah menjalankan kajian tahunan 2002 ke atas seluruh 364 buah rumah dan 1,980 orang penduduk di lapan (8) Desa-desa kasih YBK, iaitu Tebuk Pulai Tengah, Parit 8 ½ Barat, Batu 2 Tebuk Pulai, Merbau Berdarah, Tg Jawa, Bagan Nakhoda Omar, Sekendi dan Sg Kajang. Hasil kajian menunjukkan hanya 91% atau 334 buah rumah telah didiami dan sebanyak 320 buah rumah didapati masih dalam keadaan kukuh. Terdapat seramai 980 orang (49%) lelaki dan 1,000 orang (51%) perempuan yang menetap di Desa Kasih di mana secara puratanya IR mempunyai 5.9 orang ahli.
Sebahagian besar penduduk mempunyai latarbelakang sekolah rendah (808 orang atau 40.8%) dan sekolah menengah (623 orang atau 31.5%) dan seramai 808 orang (40.8%) masih sedang bersekolah.
Bilangan penduduk yang berumur 16-64 tahun adalah seramai 1,078 orang dan 628 orang (58.3%) daripadanya merupakan tenaga buruh. Daripada jumlah tersebut mereka yang bekerja adalah 517 orang dan bilangan yang tidak bekerja pula seramai 126 orang (20.1% kadar pengangguran).
Majoriti ahli isi rumah iaitu 240 orang (44.1%) merupakan mereka yang terlibat dalam industri pertanian dan perikanan dan seramai 286 orang (52.6%) yang bekerja mengambil upah pertanian seperti meracun, memetik buah kelapa sawit, kopek kelapa dan mencari sumber kampong seperti sayur.
Purata pendapatan bagi 334 isi rumah Desa Kasih adalah RM725.79 sebulan dan pendapatan per kapita adalah RM150.88. Berdasarkan pendapatan isi rumah tersebut, terdapat 102 isi rumah adalah miskin (30.5%) dan merupakan 28 isi rumah adalah termiskin (8.4%)
06 - KAJIAN 2003
Kajian Kemiskinan Desa Kasih 2003
YBK telah menjalankan kajian tahunan 2003 ke atas seluruh 354 buah rumah dan 1,999 orang ahli isi rumah di lapan (8) Desa-desa kasih YBK, iaitu Tebuk Pulai Tengah, Parit 8 ½ Barat, Batu 2 Tebuk Pulai, Merbau Berdarah, Tg Jawa, Bagan Nakhoda Omar, Sekendi dan Sg Kajang.
Hasil kajian menunjukkan terdapat seramai 983 orang (49.2%) lelaki dan 1,016 orang (50.8%) perempuan yang menetap di desa kasih di mana secara puratanya isi rumah mempunyai 5.6 orang ahli. Sebahagian besar penduduk mempunyai latarbelakang sekolah rendah (865 orang atau 43.3%) dan sekolah menengah (611 orang atau 30.6%) dan seramai 756 orang (37.8%) masih sedang bersekolah. Bilangan penduduk yang berumur 16-64 tahun adalah seramai 1,181 orang dan 679 orang (59.1%) daripadanya merupakan tenaga buruh. Daripada jumlah tersebut mereka yang bekerja adalah 533 orang dan bilangan yang tidak bekerja pula seramai 174 orang (25.6% kadar pengangguran).
Majoriti ahli isi rumah iaitu 259 orang (48.6%) merupakan mereka yang terlibat dalam industri pertanian dan perikanan dan seramai 258 orang (48.4%) yang bekerja mengambil upah pertanian seperti meracun, memetik buah kelapa sawit, kopek kelapa dan mencari sumber kampong seperti sayur. Purata pendapatan isi rumah Desa Kasih adalah RM674.50 sebulan dan pendapatan per kapita adalah RM119.45. Berdasarkan pendapatan isi rumah tersebut, terdapat 137 isi rumah adalah miskin(38.7%) dan merupakan 10 isi rumah adalah termiskin (2.8%)
Secara amnya sebahagaian besar KIR (54.2%) merupakan golongan penerima awal pembangunan kerajaan di mana hanya 3 KIR atau 0.8% adalah golongan yang tertinggal. Sebanyak 69.8% dari kalangan KIR menerima pendidikan agama secara tidak formal dan 98.6% faham tentang rukun dan bacaan dalam sembahyang. Manakala 74.0% dari kalangan KIR merupakan masyarakat yang aktif dengan program kemasyaratan.





