| YAYASAN BASMI KEMISKINAN | No. 32/34, Jalan SS7/24, Kelana Jaya, 47301 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan. No Fax : 03-78750719 | | Bersama Kami Membantu mereka yang memerlukan | SELAMAT MENYAMBUT AWAL MUHARRAM
 

Arkib Berita 2010

 

YBK buat laporan polis terhadap MB- 7/2/2010 (www.utusan.com.my)

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 7 Feb. – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor hari ini membuat laporan polis terhadap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atas dakwaan salah guna kuasa kerana memulangkan semula bayaran cukai berjumlah RM1.28 juta kepada yayasan itu pada Khamis lalu.

Bayaran cukai yang telah dijelaskan oleh YBK kepada kerajaan negeri pada Ogos tahun lalu itu adalah untuk empat lot tanah seluas 89.4 hektar di Serendah, Rawang yang merupakan lokasi asal pembangunan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Bagaimanapun wang tersebut (RM1.28 juta) telah dipulangkan bersama bayaran cukai tanah berjumlah RM5.7 juta yang dibayar baru-baru ini dengan bantuan Yayasan Melaka.

Dalam laporan yang dibuat oleh Pengarah YBK Usahasama Sdn. Bhd, Mohamed Tamin Mohd. Yusof di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini pada pukul 10.15 pagi itu turut mendakwa Abdul Khalid telah melanggar undang-undang tanah dengan memulangkan semula bayaran tersebut.

Sementara itu, Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom ketika bercakap kepada pemberita berkata, tindakan kerajaan negeri itu tidak selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 95 Kanun Tanah Negara (KTN) yang membenarkan pihak lain membayar (cukai) bagi pihak yang menuntut (YBK).

Ini kerana dakwa beliau, bayaran cukai ke atas tanah itu (RM1.28 juta) telah memenuhi syarat-syarat kerajaan tempatan yang ditetapkan untuk tujuan pembangunan tanah di Selangor.

‘‘Bayaran itu tidak ada kena-mengena dengan tunggakan cukai tanah sekitar Serendah melibatkan RM5.7 juta yang dibayar kepada kerajaan negeri oleh YBK dengan bantuan Yayasan Melaka pada 1 Februari baru-baru ini.

‘‘Bagaimanapun, mesyuarat Exco kerajaan negeri pada 3 Februari lalu memutuskan untuk pulangkan balik kesemua bayaran cukai tanah milik YBK termasuk cukai tanah untuk bangunkan UiTM yang ceknya diterima pada 4 Februari lalu.

“Soalnya, kenapa pulangkan semula bayaran cukai berkenaan, sedangkan kita telah bayar ikut peraturan dan atas alasan apa pemulangan itu dibuat oleh kerajaan negeri?” katanya ketika ditemui di IPD Shah Alam di sini hari ini.

Tambah Zainal Abidin, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujud unsur-unsur salah guna kuasa oleh Abdul Khalid serta kerajaan negeri berhubung tindakan memulangkan semula bayaran cukai tanah milik YBK yang telah dijelaskan sebelum ini.

Ini kerana, tanah milik YBK yang tidak dikeluarkan notis 6A (diarahkan bayar cukai dan tunggakan) seperti tanah untuk pembangunan UiTM turut dipulangkan bayaran walaupun ia dijelaskan mengikut syarat yang ditetapkan sebelum ini.

‘‘Jadi sekarang, kerajaan negeri mungkin telah menyalahgunakan kuasa dengan memulangkan cukai tanah yang telah dijelaskan pemiliknya.

‘‘ Jika tindakan itu dijadikan amalan, kerajaan negeri sekarang boleh buat apa sahaja kepada pemilik tanah di Selangor, pulangkan bayaran cukai dan kata pemilik tanah tak bayar tanah.

‘‘Mungkin tindakan itu ada motif politik kerana Menteri Besar meletakkan syarat supaya melantiknya sebagai Pengerusi YBK tetapi ditolak dan kerana tak puas hati, akhirnya proses rampasan tanah milik YBK dibuat,” jelasnya.

YBK Team Development @ copyright