| YAYASAN BASMI KEMISKINAN | No. 32/34, Jalan SS7/24, Kelana Jaya, 47301 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan. No Fax : 03-78750719 | | Bersama Kami Membantu mereka yang memerlukan | SELAMAT MENYAMBUT AWAL MUHARRAM
 

Arkib Berita 2010

 

Mahu kuasa punca pembatalan UiTM- 5/2/2010 (www.sinarharian.com.my)

SERENDAH – Keinginan menguasai Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dipercayai menjadi faktor utama kepada pembatalan pelaksanaan projek pembinaan Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Serendah.

Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, syarat yang diletakkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya dia dilantik menjadi pengerusi yayasan itu sebelum meluluskan projek berkenaan adalah bukti jelas keinginannya menguasai YBK.

Malah katanya, empat Exco Kerajaan Negeri yang disenaraikan untuk menganggotai Lembaga Pemegang Amanah YBK juga sebagai memenuhi kuota pemilikan yayasan itu.

“Ini semua sebab kuasa . Kerajaan Negeri sanggup tidak meluluskan projek ini hanya disebabkan pengerusi YBK dipegang oleh ahli seumur hidup UMNO.

“Berapa ramai rakyat menanggung kerugian disebabkan pembatalan projek yang telah sekian lama diimpikan oleh mereka yang cintakan pendidikan.

“Kalau projek ini dibina di Ijok mungkin dia setuju, tapi ini tak ada kena mengena dengan dia, jadi senanglah di batalkan,” katanya ketika memberikan Taklimat Pada Sesi Penerangan Mengenai YBK di sini, kelmarin.

Dianggarkan hampir 500 penduduk hadir mendengar sesi penerangan itu yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Batang Kali, Mohd Isa Abu Kasim; Pengerusi Majlis Belia Daerah (MBD) Hulu Selangor, Zulkarnain Abu Hanit serta beberapa wakil pertubuhan belia.

Zainal berkata, menyedari hasrat Kerajaan Negeri mahu menguasai YBK, beliau segera mencadangkan supaya projek itu dialihkan ke negeri lain.

Bagaimanapun katanya, kegagalan menguasai YBK mendorong Kerajaan Negeri mencari jalan lain sehingga sanggup memburukkan yayasan itu.

“Kerajaan Negeri berusaha mencari salah dengan mengatakan YBK menerima dana daripada kerajaan negeri beratus-ratus juta dan mereka nak tahu ke mana ia dibelanjakan.

“Kemudian mengatakan akaun YBK tak pernah diaudit. Semua dakwaan ini sengaja didedahkan dan kita telah buat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, YBK hanya buat pelbagai program untuk mendapatkan dana termasuklah mengadakan program makan malam.

Sementara itu, Zainal berkata, usaha mewujudkan UiTM di atas tanah seluas 450 ekar di Serendah akan mampu menjana ekonomi dan pembangunan sekitarnya termasuk daerah Hulu Selangor.

“Cadangan membina hotel turut disuarakan termasuk beberapa prasarana lain dan Kerajaan Negeri akan memperoleh cukai pintu daripada pelbagai pembangunan di sekitarnya.

“Anggaran cukai pintu untuk satu projek pembangunan mampu mencecah enam juta setahun. Tetapi, Khalid mengatakan projek itu merugikan rakyat. Inilah pemikiran orang politik,” katanya.

Menurutnya, kegagalan projek itu telah merugikan pelbagai pihak termasuklah rakyat Hulu Selangor.

YBK Team Development @ copyright