KETETAPAN MAJLIS BELIA DAERAH HULU SELANGOR- 30/1/2010

KETETAPAN MESYUARAT AJK
MAJLIS BELIA SELANGOR DAERAH HULU SELANGOR 01/2010
BERSAMA PERSATUAN/BADAN SAHABAT MBDHS
Pada : 29/01/10 (Jumaat)
Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) telah ditubuhkan secara rasminya pada April 1990 dibawah Akta Amanah, Ordinan 1952 sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO). Berdasarkan pengetahuan kami, YBK yang bermatlamatkan pembasmian kemiskinan rakyat negeri Selangor terutama golongan yang kurang bernasib baik seperti anak- anak yatim, orang kurang upaya, golongan miskin dan kurang berkemampuan.
Dari aspek pembangunan sosial dan insaniah, YBK telah melaksanakan pelbagai program antaranya Program Lindungan Kasih, Desa Kasih, Program Peningkatan Ekonomi.
Dari aspek pembangunan pendidikan dan latihan, YBK telah mewujudkan Asrama Kasih di Serendah, Asrama Kasih di Gesir, Kolej Komuniti YBK di Banting, Pusat Latihan YBK di Kuala Selangor, Akademi Mutiara Hulu Bernam dan beberapa institusi di dalam negeri Selangor.
Baru-baru ini, kami dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor yang diketuai oleh Menteri Besarnya, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim di dalam Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bil 33/2009 pada 20/10/2009 telah membuat ketetapan dan arahan supaya YBK menyerahkan jawatan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK kepada YAB Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang tertentu. Kegagalan YBK untuk melaksanakan arahan tersebut, YBK bakal kehilangan Tanah miliknya seluas hampir 2000 ekar di Serendah, Hulu Selangor dan semestinya, membantutkan usaha YBK untuk membangunkan Kampus UITM yang baru di atas Tanah tersebut di mana Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengajian Tinggi telah bersetuju terhadap cadangan tersebut.
Menyedari bahawa sejak penubuhannya, YBK melalui pengurusannya sendiri telah berjaya melaksanakan program demi program bertujuan untuk pembasmian kemiskinan di kalangan rakyat Negeri Selangor;
Menyedari bahawa YBK melalui pengurusannya sendiri telah menubuhkan pusat-pusat latihan kemahiran dan pendidikan serta asrama-asrama bagi menempatkan anak-anak muda belia daripada kalangan anak yatim, orang kurang upaya, golongan miskin dan kurang berkemampuan yang mana telah berjaya membangunkan modal insan golongan ini bagi membantu kemajuan Negeri Selangor;
Menyedari bahawa YBK yang mempunyai barisan pengurusan yang berwibawa tanpa campurtangan daripada mana-mana pihak dan senantiasa berusaha membangunkan sumber dalamannya termasuk aset berbentuk hartanah miliknya bagi menjana pendapatan dan dalam masa yang sama mendapatkan sumbangan dana daripada orang perseorangan, syarikat korporat, Kerajaan Negeri dan Agensi Persekutuan yang kemudian dibelanjakan untuk kepentingan objektif dan matlamat penubuhannya;
Menyedari bahawa sebarang campurtangan daripada mana-mana pihak ke atas pengurusan sedia ada YBK di atas apa-apa alasan sekalipun lebih-lebih lagi ianya bertujuan politik kepartisan sudah tentu akan menggugat perancangan pembangunan oleh YBK untuk kepentingan objektif dan matlamat penubuhannya.
JUSTERU ITU,
MAJLIS BELIA SELANGOR DAERAH HULU SELANGOR sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menaungi dan mewakili 14 Persatuan-Persatuan Belia, Badan Beruniform dan Komuniti peringkat Daerah dan turut disokong oleh 11 badan–badan bukan kerajaan yang berteraskan belia di dalam Daerah Hulu Selangor di atas dasar semangat ‘matlamat yang baik terus dijunjung’dan ‘kesepaduan suara belia’ serta ‘kebebasan bersuara’ dengan ini membuat ketetapan berikut :-
1. Melahirkan rasa kesal dan kecewa di atas tindakan dan keputusan YAB Menteri Besar Selangor dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor untuk campurtangan di dalam pengurusan Yayasan Basmi Kemiskinan Selangor (YBK) tetapi harus dan sewajarnya membenarkan YBK menguruskan organisasinya secara bebas sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan;
2. Meminta pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor harus dan sewajarnya meneruskan kerjasama dengan YBK seperti pentadbiran negeri terdahulu tanpa ada unsur-unsur tekanan dan paksaan dengan meletakkan kepentingan warga belia khasnya di Daerah Hulu Selangor daripada kepentingan politik kepartisan;
3. Meminta pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor harus dan sewajarnya menyokong serta memberikan kerjasama penuh kepada YBK yang telah berjaya mendapatkan persetujuan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk dibangunkan Kampus UITM di Tanah miliknya di Serendah dan bukannya meletakkan syarat-syarat yang ternyata berdasarkan pertimbangan politik kepartisan semata-mata sehingga menganggu-gugat dan membantutkan perlaksanaan pembangunan tersebut;
4. Meminta pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor harus dan sewajarnya memperakui bahawa kewujudan Kampus UITM di Serendah itu nanti akan merancakkan perkembangan ekonomi dan mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada warga Hulu Selangor khasnya dan Negeri Selangor amnya dan semestinya juga, dengan kewujudan insititusi tersebut akan membuka ribuan peluang terutama daripada kalangan generasi muda belia untuk menyambung pelajaran mereka. Pastinya, warga muda belia daripada Daerah Hulu Selangor yang berkelayakan tidak akan ketinggalan merebut peluang tersebut yang diyakini akan diberikan pertimbangan sewajarnya;
5. Meminta pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat mengenepikan kepentingan politik kepartisan semata-mata tetapi memastikan apa jua perancangan daripada mana-mana pihak untuk membangun dan memajukan demi kemanfaatan masyarakat di dalam Daerah Hulu Selangor diberikan keutamaan;
6. Merayu kepada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia supaya mengekalkan rancangan membangunkan Kampus UITM di atas Tanah milik YBK di Serendah dan tidak memindahkan ke tempat lain kerana Daerah Hulu Selangor berhak untuk memiliki Institusi Pengajian Tinggi bertaraf Nasional dan Antarabangsa seperti UITM.
Ketetapan ini diperakui oleh Ahli Jawatankuasa MAJLIS BELIA SELANGOR DAERAH HULU SELANGOR bersama persatuan/badan berikut :-
Persatuan/Badan Gabungan Majlis Belia Selangor Daerah Hulu Selangor
1. GERAKAN BELIA 4B KAWASAN HULU SELANGOR
2. PERTUBUHAN PERKUMPULAN PEREMPUAN DAERAH HULU SELANGOR
3. GERAKAN BELIA BERSATU MALAYSIA DAERAH HULU SELANGOR
4. KELAB BELL BELIA TAMIL DAERAH HULU SELANGOR
5. PERSATUAN BELIA HINDU DAERAH HULU SELANGOR
6. KELAB REKREASI DAN PERLANCONGAN DAERAH HULU SELANGOR
7. PERSATUAN PANDU PUTERI MALAYSIA DAERAH HULU SELANGOR
8. PERSEKUTUAN PENGAKAP MALAYSIA DAERAH HULU SELANGOR
9. ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA DAERAH HULU SELANGOR
10. KESATUAN PELAJAR-PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG DAERAH HULU SELANGOR
11. PERSATUAN BULAN SABIT MERAH DAERAH HULU SELANGOR
12. PERGERAKAN PUTERI ISLAM DAERAH HULU SELANGOR
13. MAJLIS BELIA INDIA MALAYSIA DAERAH HULU SELANGOR
14. MAJLIS BELIA FELDA GUGUSAN GEDANGSA, SUNGAI DUSUN, SUNGAI TENGI & SUNGAI TENGI SELATAN
Sahabat Majlis Belia Selangor Daerah Hulu Selangor
1. KELAB RAKAN MUDA PARLIMEN HULU SELANGOR
2. IKATAN PROFESIONAL MELAYU SELANGOR DAERAH HULU SELANGOR
3. KKB BIKERS, KUALA KUBU BHARU
4. BRIGED WAJADIRI MBD HULU SELANGOR
5. BRIGED BERMOTOR MBD HULU SELANGOR
6. PERSATUAN BELIA AROWANA, ULU YAM BHARU
7. PERSATUAN BELIA TRADISI KG. SUNGAI BUAYA
8. PERSATUAN BELIA BANDAR UTAMA BATANG KALI
9. KELAB GABAN ADVENTURE TEAM, BANDAR SUNGAI BUAYA
10. KELAB MOTOR CROSS SUNGAI DUSUN
11. KELAB SAHABAT BINA NEGARA
|