| YAYASAN BASMI KEMISKINAN | No. 32/34, Jalan SS7/24, Kelana Jaya, 47301 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan. No Fax : 03-78750719 | | Bersama Kami Membantu mereka yang memerlukan | SELAMAT MENYAMBUT AWAL MUHARRAM
 

Arkib Berita 2010

 

Kampus Baru Pelengkap Usaha - 28/1/2010 (www.sinarharian.com.my)

MERLIMAU - Pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Kampung Seri Mendapat, Semujuk, dekat sini akan meperlengkapkan usaha menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri dan pusat pendidikan sejajar aspirasi Melaka Maju 2010.

Ini merupakan kampus UiTM ketiga di negeri ini selepas Lendu di Alor Gajah dan UiTM City Campus (Bandaraya Melaka), sekali gus menjadikan ketiga daerah di negeri ini mempunyai sebuah kampus UiTM.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, pembinaan kampus UiTM itu akan dapat membantu menambahkan modal insan negeri Melaka dan negara, terutama dalam kalangan pelajar Bumiputera.

“Selain itu, ia juga akan dapat membawa pembangunan ke daerah Jasin dan menjadikannya sebagai sebuah pusat pendidikan yang boleh dibanggakan.

“Saya juga percaya dengan adanya kampus ini nanti, ia akan dapat membantu menjana peluang ekonomi untuk penduduk setempat, sekali gus membantu usaha kerajaan untuk merapatkan jurang pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat tapak pembinaan kampus UiTM di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor, Datuk Zainal Abidin Sakom; Pengarah UiTM Kampus Melaka, Datuk Prof Madya Dr Mizan Hitam; Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan.

Kampus yang dijangka dapat digunakan menjelang 2013 itu akan menempatkan kira-kira 5,000 pelajar, di mana penempatan untuk kira-kira 2,500 daripada mereka adalah di dalam kampus dan selebihnya di luar.

Tanah milik Yayasan Melaka itu ditawarkan Kerajaan Negeri kepada YBK Selangor bagi pembinaan kampus UiTM bagi menggantikan kampus Serendah yang tidak mendapat kelulusan Selangor.

Menurut Mohd Ali, beliau berharap proses pembinaan kampus itu akan dapat dimulakan dalam masa sebulan dua ini.

“Sekarang ini kita hanya menunggu proses kelulusan pelan bangunan dan ‘lay-out’, yang mana saya percaya tidak akan menghadapi sebarang masalah,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan kampus berkenaan akan dilaksanakan dengan pembiayaan pihak swasta.

Apabila ditanya mengenai nama yang bakal diberikan kepada kampus berkenaan, Mohd Ali berkata, ia masih belum difikirkan dan akan ditentukan kemudian.

 

YBK Team Development @ copyright