| YAYASAN BASMI KEMISKINAN | No. 32/34, Jalan SS7/24, Kelana Jaya, 47301 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan. No Fax : 03-78750719 | | Bersama Kami Membantu mereka yang memerlukan | SELAMAT MENYAMBUT AWAL MUHARRAM
 

Arkib Berita 2010

 

Tolak bina kampus rugikan rakyat Selangor - 25/1/2010 (www.utusan.com.my)

SHAH ALAM 25 Jan. - Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor menyifatkan rakyat di negeri itu mengalami kerugian besar dari segi pembangunan sosial berikutan sikap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang enggan membenarkan yayasan itu membina kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di tapak cadangan di Serendah, Rawang.

Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Sakom (gambar) berkata, 'kerugian' itu jelas dinyatakan oleh Abdul Khalid dalam laporan Utusan Malaysia semalam yang membuktikan pendirian kerajaan negeri yang tetap berkeras tidak mahu kampus universiti tersebut dibina di Selangor.

Menurutnya, pendirian kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas itu juga seolah-olah pentadbiran di Selangor cuba menyekat perkembangan pendidikan.

Apa yang malang, katanya, ia berlaku hanya kerana YBK enggan melantik Abdul Khalid sebagai Pengerusi yayasan itu walaupun segala syarat dan peraturan projek pembinaan kampus tersebut semuanya telah dipatuhi.

"Sepatutnya sebagai sebuah kerajaan yang mentadbir negeri, adalah menjadi tanggungjawab Abdul Khalid selaku Menteri Besar memastikan peluang pendidikan di Selangor ini terbuka lebih luas kepada semua rakyat.

"Bagi kita, keputusan kerajaan negeri ini jelas merugikan rakyat untuk mendapatkan peluang pendidikan serta menjadikan Selangor sebagai pusat pendidikan yang terbaik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Khalid semalam yang mengatakan kerajaan negeri tetap tidak akan membenarkan YBK Selangor membina kampus UiTM di tapak tanah milik yayasan itu di Serendah.

Menurut Abdul Khalid, keputusan itu dibuat atas alasan YBK bukannya pihak yang berautoriti untuk mengeluarkan kenyataan atau keputusan mengenai pemilihan tapak pembinaan kampus universiti berkenaan di negeri Selangor.

Malah, Abdul Khalid turut mengaitkan perkara-perkara politik dalam isu berkenaan termasuk mahu Kementerian Pengajian Tinggi mengadakan rundingan dengan kerajaan negeri selain memberikan bantuan sekiranya mahu kampus UiTM itu dibina.

Dalam pada itu, Zainal Abidin ketika ditanya mengenai keputusan YBK sama ada menerima tawaran kerajaan negeri Melaka atau Negeri Sembilan untuk membina kampus tersebut, menjelaskan perkara itu akan ditentukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi selewat-lewatnya Rabu ini.

Beliau berkata, YBK telah mengemukakan surat mengenai cadangan pembinaan kampus berkenaan kepada kementerian tersebut untuk penilaian selanjutnya baru-baru ini.

"Kita difahamkan lokasi baru rancangan pembinaan kampus UiTM akan diputuskan oleh kementerian dalam tempoh terdekat," ujarnya.

 


YBK Team Development @ copyright