| YAYASAN BASMI KEMISKINAN | No. 32/34, Jalan SS7/24, Kelana Jaya, 47301 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan. No Fax : 03-78750719 | | Bersama Kami Membantu mereka yang memerlukan | SELAMAT MENYAMBUT AWAL MUHARRAM
 

Arkib Berita 2010

 

Kampus UiTM YBK pindah ke Melaka - 25/1/2010 (www.utusan.com.my)

Oleh NURUL ANUAR KARI
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) mengesahkan kampus baru Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang akan dibina oleh Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor dipindahkan ke Jasin, Melaka.

Menurutnya, cadangan asal pembinaan kampus itu yang sepatutnya didirikan di Serendah, Rawang telah dibatalkan ekoran keengganan kerajaan negeri Selangor meluluskan projek tersebut.

"Isu ini sebenarnya cuma melibatkan persoalan tapak untuk membina kampus UiTM dan ia bukannya berkaitan dengan ketelusan tender seperti yang dipersoal oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Persatuan Kebangsaan IPTS (Institusi Pendidikan Tinggi Swasta) Bumiputra Malaysia (PKIBM) 2010 di sini hari ini.

Masalah kelulusan tapak itu bermula apabila YBK enggan mengikut syarat ditetapkan oleh kerajaan negeri iaitu mesti melantik Menteri Besar dan seorang Exco sebagai anggota dalam lembaga yayasan tersebut.

Sementara itu, Mohamed Khaled menegaskan, IPTS perlu menjaga kualiti kursus yang ditawarkan kerana ia akan menentukan hayat dan ketahanan mereka dalam mengharungi era globalisasi serta liberalisasi sektor pendidikan tinggi.

"Sekitar tujuh juta pelajar antarabangsa sedang mencari tempat untuk melanjutkan pelajaran di negara luar setiap tahun terutamanya dari India, China dan Asia Barat.

"Jika IPTS di Malaysia mengabaikan kualiti dan hanya bertumpu kepada pelajar tempatan, mereka pasti ketinggalan dan tidak dapat mengharungi proses liberalisasi ini," tegasnya.

Menurutnya, sektor pendidikan tinggi mempunyai potensi besar untuk berkembang tetapi hanya mereka yang menawarkan kualiti pendidikan terbaik akan berjaya menarik minat pelajar.

Tambahnya, pendidikan berkualiti juga dapat mengelak penganiayaan ke atas para pelajar yang juga menjadi generasi pewaris negara kelak.

Persaingan sengit antara IPTS di Malaysia kini bukan sahaja bertumpu pada golongan pelajar tempatan, malahan kepada pelajar antarabangsa yang dianggarkan membawa masuk pendapatan sehingga RM6 bilion setahun.

Malaysia juga dilaporkan menjadi antara pesaing baru sektor pendidikan tinggi global dengan berada di tangga ke-11, sementara Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai peneraju utama dan United Kingdom (UK) di tempat kedua.

Turut hadir pada seminar hari ini ialah Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan IPTS, Datin Profesor Dr. Ir. Siti Hamisah Tapsir; Timbalan Ketua Pengarah (Usahawan) Mara; Datuk Othman Ahmad, Timbalan Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Ahmad Wan Yusoff dan Pemangku Presiden PKIBM, Datin Norayini Ali.


YBK Team Development @ copyright