| YAYASAN BASMI KEMISKINAN | No. 32/34, Jalan SS7/24, Kelana Jaya, 47301 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan. No Fax : 03-78750719 | | Bersama Kami Membantu mereka yang memerlukan | SELAMAT MENYAMBUT AWAL MUHARRAM
 

Arkib Berita 2010

 

YBK Telus Perkasa Usaha Perangi Kemiskinan- 24/1/2010 (www.bharian.com.my)

Tindakan tiada kompromi MB Selangor mahu rampas 700 ekar tanah milik yayasan cetus persoalan

KEMISKINAN, penyakit dan kedaifan ilmu adalah tiga musuh besar harus diperangi. Berbekalkan semangat amal jariah dan ibadat, maka Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) ditubuhkan pada 1990 di bawah Akta Perbadanan Amanah 1952 sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bebas dan berkecuali.

Hakikatnya, bukan senang membangunkan NGO. Berbeza agensi kerajaan yang menyediakan peruntukan tahunan untuk operasi dan pentadbirannya, NGO perlu mencari dana sendiri, termasuk daripada sumbangan derma individu dan korporat. Maka itu, tidak hairanlah jika banyak NGO yang lahir ketika kelahiran YBK akhirnya mati, terbengkalai dan tutup kerana kurang sumber kewangan. Mujur, atas keprihatinan penderma individu dan korporat, YBK terus hidup sehingga usianya 20 tahun sekarang berkat menerima sumbangan wang bagi memerangi kemiskinan.
Lama kelamaan, budi dan jasa YBK dihargai dan Kerajaan Persekutuan mula menghadiahkan wang untuk YBK memerangi kemiskinan tanpa sebarang ikatan dan tanpa sebarang syarat. Kerajaan Selangor yang berasa bersalah kerana tidak membantu YBK kerana ia sebuah NGO yang aktif memerangi kemiskinan di Selangor, turut mengikut jejak langkah Kerajaan Persekutuan dengan memberi aset kepada YBK secara terus dan menerusi syarikat usaha sama YBK.

Kata Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Menteri Besar Selangor ketika itu, yang memberi aset kepada YBK: "Pemberian aset ini hadiah dan penghargaan kerajaan negeri kepada kejayaan sebuah NGO mithali memerangi kemiskinan yang amat berjaya sehinggakan banyak delegasi negara membangun turut melawat dan meninjau operasinya untuk menimba pengalaman NGO memerangi kemiskinan." Maka pemberian itu ikhlas tanpa sebarang syarat atau ikatan atau dalam bahasa Inggeris, 'no strings attached.'

Tindakan kerajaan memberi aset sebagai hadiah dan mengenang jasa YBK walaupun ia bukan badan kerajaan adalah tindakan yang bukan luar biasa dan seharusnya tidak diungkit ala 'buruk siku.'

Pernah sebuah agensi amanah kawalan kerajaan memberi hadiah dalam bentuk opsyen saham bernilai ratusan juta ringgit kepada seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kerana mengenang jasanya berbakti kepada organisasi itu tanpa sebarang syarat atau ikatan luar biasa. Dengan pemberian opsyen itu, CEO itu berpotensi mendapat untung ratusan juta ringgit. Hari ini CEO itu jadi pemimpin pembangkang selepas hidup senang lenang hasil hadiah 'golden handshake' yang diterima. Diketahui umum tokoh CEO itu ialah Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor dan mantan CEO Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan saham 'golden handshake' adalah saham Guthrie.'

Hairannya, Khalid kini mempersoalkan hadiah dan penghargaan dalam bentuk aset diterima di atas budi dan jasa YBK. Begitupun, YBK yang mendedikasi seluruh dana dan asetnya untuk memerangi kemiskinan tidak menyimpang daripada tujuan asal. Aset yang diterima turut digembleng bagi memperkasa usaha memerangi kemiskinan. Dengan telus dan berintegriti, akaun YBK terus menerus diaudit mulai 1990 hingga kini dan dimajukan kepada menteri bertanggungjawab terhadap akta amanah 1952 untuk semakan dan siasatan jika ada penyelewengan.

Aset yang diterima tidak disia-siakan. Tanah dihadiahkan kepada syarikat usaha sama YBK digembleng untuk membangunkan Projek Taman Ilmu yang konsepnya pernah dibentangkan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Taman ilmu, jika berjaya dibangunkan dan jika direstui oleh Kerajaan Persekutuan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan menjadi himpunan institusi pembangunan modal insan termasuk kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Politeknik, Institut Kemahiran Belia, akademi binaan, Maktab Rendah Sains Mara, sekolah berasrama penuh, kolej pertanian dan sebagainya.

Falsafah dan semangat pembangunan taman ilmu ini jika dilaksanakan akan menjadi showcase kepada dunia membangun mengenai model komprehensif dan integratif kerajaan Malaysia menyediakan peluang pendidikan dan latihan berasrama kepada anak muda dari kampung termasuk daripada keluarga miskin sebagai strategi untuk bebas daripada putaran ganas kemiskinan yang pernah menghimpit ibu, bapa atau datuk nenek mereka.
Malangnya, Khalid tidak nampak hasrat murni dan idealisme YBK menyerlahkan mercu tanda pembasmian kemiskinan menerusi pembangunan modal insan di tanah itu. Yang nampak oleh Khalid bukan semangat dan falsafah pembangunan yang relevan dengan agenda pembasmian kemiskinan, Khalid hanya nampak wang ringgit kononnya YBK akan mendapat RM540 juta hasil tanah itu.

Maka itulah, Khalid sudah memberi kata dua kepada YBK. Khalid mahu dilantik sebagai Pengerusi YBK. Jika YBK tidak setuju, Khalid tidak akan meluluskan pelan pembangunan kampus UiTM di tanah milik syarikat usaha sama YBK itu.

Oleh kerana ingin kekal dengan statusnya sebagai NGO yang bebas dan berkecuali daripada ikatan mana mana kerajaan dan tokoh politik, Lembaga Pemegang Amanah YBK (ALPA YBK) tidak dapat melantik Khalid sebagai Pengerusi YBK. Lagipun Lembaga Pemegang Amanah YBK tidak ada kuasa melantik Khalid sebagai Pengerusi YBK berdasarkan surat ikatan amanah dimeterai.

Sebagai tindak balas, Khalid tidak bersifat berkompromi dengan YBK. Jika dulu, kerajaan negeri memberi masa untuk YBK mencari wang bagi membayar hutang cukai tanah tertunggak, kini Khalid mengambil sikap berbeza. Notis undang-undang dikeluarkan bertujuan merampas 700 ekar tanah milik YBK jika gagal membayar hutang cukai tanah RM6 juta. Tanpa sebarang tolak ansur YBK diingatkan bahawa tanah bernilai RM42 juta itu akan dirampas selepas tamat notis pada 29 Januari 2010.

Sikap kejam ini amat menghairankan memandangkan Khalid yang pemurah menggunakan wang kerajaan negeri berjumlah RM391 juta bagi membeli hutang Talam Group Corporation. Apalah RM6 juta kepada sebuah badan membasmi kemiskinan berbanding RM391 juta untuk badan korporat bermotifkan keuntungan?

Berpahatkan kezaliman dalam hati, Khalid mungkin berjaya merampas tanah bernilai RM42 juta akibat gagal membayar hutang RM6 juta ke atas cukai tanah itu. Ini akan berlaku jika tiada dermawan atau tokoh korporat tampil ke hadapan meminjamkan wang RM6 juta kepada YBK.

Memanglah pandai Khalid berstrategi. Dengan tidak meluluskan pelan pembangunan kampus UiTM, Khalid tahu YBK akan gagal mendapat pinjaman wang bagi membayar hutang cukai tanah tertunggak. Namun, Khalid perlu ingat firman Allah SWT bermaksud:"...mereka merancang, Allah juga merancang. Dan Allah adalah sebaik-baik perancang." (Al-Anfaal 8:30].

Teruskan budaya politik 'keadilan di mulut, kezaliman di perut.' Rampaslah tanah YBK dengan kuasa yang ada. Namun perlu diingat, 'hati yang jujur dan ikhlas dan iltizam tinggi yang ada pada hati dan jiwa Lembaga Pemegang Amanah YBK untuk memerangi kemiskinan tidak akan berjaya dipadamkan. Maka, jihad membasmi kemiskinan akan terus diperjuangkan demi menyempurnakan semangat amal jariah dan amanah yang dipegang.

Penulis ialah Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK)

YBK Team Development @ copyright