Tindakan MB tidak bertanggungjawab - 20/01/2010 (www.sinarharian.com.my)
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dinasihatkan lebih memfokuskan tugas ke arah memajukan negeri berbanding cuba mengambil alih Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang telah lama memberi sumbangan kepada Selangor selama ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata, ugutan MB yang hendak menghalang pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) oleh YBK sekiranya tidak dilantik sebagai pengerusi adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan tidak mementingkan pembangunan negeri serta rakyat.
Menurutnya, masih banyak ruang pentadbiran Kerajaan Negeri yang perlu difokuskan Abdul Khalid seperti masalah melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), sasaran kutipan hasil pasir dan usaha menarik pelaburan asing serta menunaikan janji Pakatan Rakyat dalam pilihan raya dahulu.
“Pembangunan UiTM ini akan membolehkan YBK mempunyai dana besar untuk terus menjalankan kegiatan membantu masyarakat miskin di Selangor.
“Sepatutnya Kerajaan Negeri berbangga kerana yayasan ini mempunyai perniagaan sendiri yang akan digunakan untuk membantu rakyat miskin di Selangor, sekali gus membantu mengurangkan beban tanggungjawab Kerajaan Negeri,” katanya yang dipetik dari blog www.drkhir.com.
Beliau berkata, difahamkan pembangunan UiTM di Serendah akan menempatkan kampus Fakulti Sains yang akan menampung 5,000 pelajar.
“Dengan jumlah 5,000 pelajar ini bersama pensyarah dan kakitangan sokongan, projek ini pasti akan menjadi pemangkin kepada pembangunan Selangor Utara atau Hulu Selangor.
“Banyak rumah dan lot perniagaan yang terbiar di sekitar Bukit Beruntung akan kembali maju. Malahan sejak diuar-uarkan akan dibina kampus UiTM di situ sahaja pasaran hartanah di sekitar Bukit Beruntung sudah kembali menarik minat pasaran,” katanya.
Menurutnya, hasil dari projek ini akan digunakan YBK untuk membayar beberapa tunggakan hutang hasil mereka kepada Kerajaan Negeri, bermakna dari projek ini Kerajaan Negeri juga akan mendapat hasil.
“Jadi saya tidak nampak bagaimana projek ini boleh merugikan rakyat jika kepentingan rakyat dijadikan alasan Kerajaan Selangor,” katanya.
Terdahulu, Abdul Khalid dilaporkan meminta beliau dilantik sebagai Pengerusi YBK atau Kerajaan Negeri tidak akan meluluskan projek pembinaan UiTM di Serendah, Hulu Selangor.
“Kelulusan projek pembangunan harus mengambil kira laporan kesan alam sekitar, :economic viability:, kepentingan kepada rakyat dan negeri, namun piawai baru Kerajaan Negeri mensyaratkan MB menjadi Pengerusi Pemaju sangat tidak beretika dan boleh dianggap pecah amanah (:criminal breach of trust:) jika diteruskan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mempersoalkan kewajaran jika kelulusan sesebuah projek pembangunan disyaratkan dengan orang yang memberi kelulusan dilantik mengetuai projek tersebut.
“Walau apa jua alasan Kerajaan Negeri terhadap kegiatan YBK, ia tidak harus menghalang satu projek pembangunan yang bukan saja menguntungkan YBK tetapi juga negeri.
“Jika dikatakan ada penyelewengan maka laporkanlah kepada pihak berkuasa, jangan sekadar membuat pelbagai kenyataan bombastik dan sekadar memburukkan orang yang tidak selari atau tidak mahu tunduk kepada kepentingan politik Kerajaan Negeri hari ini,” katanya.
|