Melaka tawar tapak UiTM, Utusan OnLine 14/1/2010
Oleh Rizanizam Abdul Hamid utusanmelaka@utusan.com.my
MELAKA 13 Jan. - Melaka sedia menawarkan tapak di negeri ini jika Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor gagal untuk membina kampus baru Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Serendah, Selangor.
Sambil berharap tawaran itu dipersetujui YBK, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kerajaan negeri telah menyediakan satu kawasan seluas 87.2 hektar di Semujuk, Jasin dekat sini bagi pembinaan kampus tersebut.
Menurutnya, jika YBK bersetuju dengan tawaran itu, mereka boleh memulakan kerja pembinaan pada tahun ini juga.
"Kita juga telah menghantar surat kepada yayasan berkenaan dan pada dasarnya, mereka sudah bersetuju.
"Kini, kita hanya menunggu keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sama ada meluluskannya atau tidak," kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar baru-baru ini tentang YBK yang mungkin mencari tapak lain bagi membina kampus baru itu ekoran masalah yang dihadapi dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
YBK yang ditubuhkan sejak 20 tahun lalu, bercadang membangunkan tanah seluas 190 hektar untuk pembinaan kampus UiTM di Serendah menerusi tanah miliknya yang dianugerahkan kerajaan negeri Selangor pada 1995.
Proses untuk memulakan projek itu sudah pun dimulakan oleh anak syarikatnya, Permodalan YBK Sdn. Bhd. (PYBK) dan telah mendapat kelulusan pelbagai pihak termasuk majlis daerah.
|