Yayasan ditawar bina kampus di N. Sembilan, UM 9/1/2010
SEREMBAN 8 Jan. - Kerajaan Negeri Sembilan menjemput Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor membuka serta membina kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang telah diluluskan kepada mereka di negeri ini.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan negeri sedia pada bila-bila masa mengadakan perbincangan dengan YBK Selangor bagi merealisasikan impian mereka membangunkan serta memperkasakan pendidikan di negara ini.
"Kerajaan negeri amat prihatin soal pendidikan dan sebab itulah mana-mana pihak yang berhasrat membuka kampus, universiti, institusi pendidikan di negara ini tetapi tidak mempunyai lokasi, dialu-alukan membinanya di negeri ini.
"Ini kerana, Negeri Sembilan sudah pun menjadi satu hab pendidikan yang besar di negara ini, lebih-lebih lagi kawasan di Bandar Enstek dan Nilai, di mana sedang dibangunkan kompleks pendidikan yang besar di situ," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohamad berkata demikian sebagai respons kepada kebimbangan Pengerusi YBK Selangor, Datuk Zainal Abidin Sakom berhubung keengganan Kerajaan Negeri Selangor meluluskan pelan pembangunan UiTM yang dibuat oleh pihaknya di satu kawasan di Serendah, Selangor.
"Kerajaan Negeri Sembilan tidak mempunyai sebarang masalah mengenai perkara itu, sebaliknya akan segera membantu mana-mana pihak yang mahu membina institusi pendidikan di sini," jelasnya.
Justeru, kata Mohamad, kerajaan negeri sedia mengadakan perbincangan dengan YBK Selangor serta mencari mana-mana tapak dan lokasi yang difikirkan sesuai untuk pembinaan UiTM tersebut.
Ketika ini di negeri ini sedang dibangunkan pelbagai universiti, institut pendidikan, perguruan, sekolah berasrama penuh dan pusat pembangunan serta penyelidikan berteknologi tinggi.
"Menjadi hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai lembah ilmu dan kita sentiasa membuka pintu kepada sesiapa sahaja untuk merealisasikan pembinaan institut pendidikan masing-masing," tegasnya.
Selain di Enstek dan Nilai, pembinaan sebuah kampus perubatan juga sedang dilaksanakan berhampiran Port Dickson selain kampus UiTM di Kuala Pilah yang kini pesat dibangunkan.
"Menjadikan negeri ini sebagai lokasi pendidikan adalah pilihan yang tepat dan saya yakin tawaran daripada kerajaan negeri ini akan dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya oleh pihak YBK Selangor," ujar beliau lagi.
Semalam, Zainal dalam kenyataannya kepada media memaklumkan bahawa YBK Selangor telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bagi membantu pihaknya mendapatkan lokasi tanah yang sesuai bagi membangunkan UiTM tersebut.
Zainal mendakwa projek pembangunan secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) ini tidak mendapat kelulusan daripada Kerajaan Negeri Selangor.
"Kerajaan negeri menghalang pembangunan yang telah pun memenuhi syarat pembangunan atas sebab yang tiada langsung kaitan dengan syarat kelulusan projek," tegas Zainal.
Tambahnya, projek pembangunan kampus UiTM Serendah ini telah dirancang oleh Permodalan Yayasan Basmi Kemiskinan Usahasama hampir tiga tahun lalu dan segala kelulusan daripada pihak berwajib telah diselesaikan
|