Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma di Desa Kasih Merbau Bedarah, 7/5/2009h
7 Mei, - Program Saringan Kesihatan Reproduktif Wanita Desa Kasih kali ke-2 akan diadakan di Desa Kasih Merbau Berdarah pada 17 Mei 2009. Program yang dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan wanita berkaitan dengan kesihatan dalam menangani penyakit berisiko tinggi seperti barah payu dara dan barah pangkal rahim.
Program yang akan dianjurkan ini juga mendapat kerjasama daripada Lembaga Zakat Selangor, Hospital JHEOA Gombak, Klinik Kesihatan Bagan Terap dan para sukarelawan.
Antara aktiviti pemeriksaan yang akan dijalankan ialah pemeriksaan payu dara, pemeriksaan pangkal rahim, tekanan darah, glukos, berat badan dan pemeriksaan am. Walaupun program ini dikhususkan khas bagi kaum wanita, YBK juga membuka peluang kepada kaum bapa untuk menjalani pemeriksaan kesihatan am. YBK juga menyeru kepada kaum bapa untuk memberi sokongan kepada isteri masing-masing untuk menjalani pemeriksaan kesihatan ini. Program ini akan bermula dari jam 8.00 pagi sehingga 2.00 petang di Pusat Kecemerlangan Desa Kasih Merbau Berdarah.